Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan.
Disini saya nak mengajukan 1 soalan, memandangkan suami saya sering menegur saya apabila saya selesai menghabiskan makanan di dalam pinggan, saya akan mengetuk jari-jemari saya ke atas pinggan sepaya nasi tu berguguran di pinggan, adalah perbuatan saya itu haram atau sebaliknya?. Setahu saya, hanya dibolehkan menjilat jari-jemari sahaja apabila selesai makan yang pernah saya tahu dalam adab makan dalam islam,yang mengetuk-ngetuk itu haram bak kata suami saya. Adakah benar ia haram?
Jawapan
Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kita adab-adab yang menjadi panduan dalam aktivit seharian. Antaranya ialah menjilat jari jemari sesudah makan sebelum membasuhnya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu (telah selesai) makan, maka jilatlah jari jemarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu pada jari manakah yang mempunyai keberkatan.” Riwayat Muslim (2035)
Perbuatan mengetuk jari di pinggan supaya nasi jatuh ke pinggan bukanlah perbuatan yang dilarang, namun menjilat jari jemari adalah lebih baik kerana bertepatan dengan Sunnah dalam mengelakkan pembaziran dan memperoleh keberkatan yang terdapat pada makanan yang dimakan.
Sekian, terima kasih.