BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan/puan. Saya telah berkahwin selama 4 tahun. Isteri saya meminta penceraian dengan alasan sudah 1 tahun tawar hati dan tiada rasa cinta. Saya mengaku salah saya membuatkan isteri berasa terabai, dan cuba memperbaiki hubungan dengan cara mengajaknya duduk berbincang bersama, tetapi isteri mengelak. Saya juga cuba mengajaknya pergi sesi kaunseling di pejabat agama islam bersama sama tetapi isteri tetap tidak mahu pergi sebaliknya berkeras menuntut penceraian. Isteri saya mengatakan dia akan menuntut cerai fasakh sekiranya saya tidak mahu melafazkan cerai. Saya akui memang kami jarang berbual tetapi memang sikap saya pendiam, dan isteri juga tidak menyatakan apa apa jadi saya hanya menganggap isteri normal dan tiada apa apa masalah berlaku. Selepas perkara menuntut cerai ini berlaku, isteri mengelak untuk tidur bersama saya dan anak,sebaliknya tidur berasingan. Dan isteri juga kerap keluar hingga tengah malam tanpa minta izin saya. Saya masih sayang isteri, sayang anak, dan sayang keluarga kami. Jadi apa saya perlu buat jika usaha saya untuk memperbaiki hubungan kami tidak dipedulikan isteri. Bolehkah isteri tetap menuntut penceraian? Terima kasih tuan/puan membantu saya memberikan pencerahan


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, isteri boleh menuntut perceraian dari suaminya jika alasan yang dikemukakan adalah munasabah. Walau bagaimanapun ia tertakluk kepada keputusan pihak Mahkamah Syariah kelak. 

Adapun, tindakan suami untuk memperbaiki hubungan, duduk berbincang serta mengajak ke sesi kaunseling adalah usaha yang baik. Lebih-lebih lagi dikatakan isteri ada balik tengah malam dan keluar tanpa izin suami adalah berdosa kerana ada suami. Oleh itu teruskan berusaha nasihat dan tegur dengan baik. Namun, saudara boleh sahaja hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran secara berasingan terlebih dahulu untuk mendapatkan khidmat nasihat perkahwinan. Manakala pihak isteri pula akan dipanggil oleh Pejabat Agama untuk hadir kemudian. Sebaiknya saudara hubungi dahulu Pejabat Agama untuk temujanji dan dapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara ini.   

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 87

message user image