Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Apa hukum, bayarlah app mengenakan caj 1% kepada peniaga dan juga duit yang masuk tidak di terima pada waktu yang sama.
Misalan:
1. Harga di kedai RM 10.00. Pelanggan kedai membeli makanan tersebut dan membuat bayaran melalui bayarlah app. Peniaga hanya akan dapat RM 9.90 sahaja, manakala bayarlah app akan ambil keuntungan RM 0.10. Setiap transaksi akan di kenakan caj 1%.
Untuk makluman, peniaga perlu membayar RM 149 untuk harga device dan RM 80 untuk harga simkad (yang ini optional, renewal setiap tahun juga optional). Untuk yang ambil simkad RM 80 setahun di tambah dengan kos 1% untuk setiap transaksi melalui bayarlah app. Apakah hukumnya?
2. Duit akan float sehari untuk hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Manakala untuk Jumaat, Sabtu dan Ahad duit akan di kreditkan ke peniaga pada hari Isnin petang. Apakah hukumnya?
Mohon pandangan dari pihak mufti bagi soalan di atas.
Terima kasih .
Jawapan
Hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati. (Riwayat Abu Daud)
Soalan 1: Sekiranya setiap peraturan yang ditetapkan telah diperjelaskan tanpa ada unsur penipuan, maka urus niaga yang dijalankan adalah harus. Caj 1% bagi setiap transaksi juga adalah harus, kerana caj ini merupakan upah perkhidmatan (ujrah) bagi menampung kos pengurusan aplikasi tersebut.
Manakala bayaran RM149 untuk peranti dan RM80 untuk simkad (pilihan, dengan pembaharuan tahunan) juga termasuk dalam kategori bayaran perkhidmatan atau kemudahan yang dibenarkan syarak. Oleh itu, penggunaan aplikasi ini dan caj-caj yang dikenakan adalah harus kerana ia berbentuk upah perkhidmatan yang sah menurut syarak, bukan riba.
Soalan 2: Pada asasnya, adalah lebih baik setiap bayaran dilunaskan terus selepas urus niaga selesai. Namun, sekiranya penangguhan bayaran tersebut merupakan polisi syarikat aplikasi atas faktor pengamalan standard kewangan, maka ia tetap diharuskan. Hal ini kerana pembayaran pelanggan kepada peniaga telah dianggap sempurna pada waktu transaksi dilakukan, cuma pihak syarikat aplikasi menangguhkan pengkreditan berdasarkan SOP yang ditetapkan. Perkara ini mestilah diperjelaskan lebih awal dalam syarat-syarat perkhidmatan sebelum persetujuan dimeterai antara peniaga dan pihak syarikat aplikasi.
Sekian, terima kasih