BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Mengapa tapai halal dan arak haram? Adakah terdapat komponen2 yang boleh mendefinisikan sesuatu sebagai arak?


message user image

Jawapan  

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa tapai adalah halal kerana ia bukan arak walaupun mengandungi sedikit alkohol yang terhasil secara semula jadi melalui proses penapaian dan tidak memabukkan apabila dimakan dalam jumlah kebiasaan. Menurut mazhab Shafi‘i, sesuatu dianggap arak (khamr) dan haram apabila ia memenuhi dua syarat tersebut:

(1) Diperbuat daripada bahan yang memabukkan seperti anggur atau kurma melalui proses perahan atau penapaian dan;

(2) Mempunyai sifat memabukkan (muskir). 

Jika sesuatu bahan tidak memabukkan sama ada kerana kuantiti alkoholnya terlalu rendah atau tidak memberi kesan mabuk dalam uruf biasa, maka ia tidak dianggap khamr. Oleh itu, tapai yang tidak memabukkan tidak dikira sebagai arak dan halal dimakan.

Namun begitu, niat pembuatannya juga memainkan peranan penting dalam hukum. Sekiranya seseorang membuat tapai dengan niat untuk menjadikannya arak atau minuman memabukkan, maka hukumnya berubah menjadi haram berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Umar Bin al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, tapai yang dibuat dengan niat sebagai makanan dan tidak memabukkan adalah halal, tetapi jika diniatkan untuk menghasilkan arak atau diminum bagi tujuan untuk mabuk, maka ia adalah haram.

الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image