Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tntg haid dan istihadah.
Saya sudah melepasi tempoh suci. Sepatutnya saya datang bulan pada 24/7. Tapi, 22/7 sudah mula keluar darah warna coklat. Kebiasaannya, saya menganggap itu biasa sebagai permulaan haid. Namun, keadaan ini berterusan sampai hari ke 6. Hanya keluar warna coklat. Tapi, pada hari ke 7, baru mula keluar darah warna merah2 kehitaman. Dan berterusan sampai lah harini (hari ke 14).
Cuma sekarang saya sedang keliru. Darah coklat yg keluar selama 6 hari tu, adakah dikira istihadah atau darah haid?
Sebab baru ni ada baca tentang membezakan warna darah kuat dan darah lemah.
Kalau contoh ikut adat, biasanya tempoh saya datang bulan ialah 7 hari. Tapi kalau ikut warna darah, hari ke 7 smpai hari ke 14 tu memang ciri2 darah haid. Saya berasa keliru kerana tidak pasti darah haid saya bermula 22/7 atau 28/7?
Mohon pencerahan nya. Terima kasih.
Jawapan
Secara asasnya, sebanyak-banyak tempoh haid adalah 15 hari 15 malam sama ada darah tersebut keluar secara berterusan atau darah keluar secara terputus-putus dalam tempoh 15 hari 15 malam, tetapi jika dihimpunkan tempoh darah yang keluar itu maka cukup sehari semalam. Darah keluar yang cukup sehari semalam dan tidak melebihi 15 hari 15 malam sedangkan ia keluar dalam waktu imkan al-haid (yang boleh didatangi haid), kesemuanya adalah haid walaupun sifatnya berbeza dan menyalahi adat sebelumnya.
Merujuk kepada persoalan, darah yang keluar bermula 22/7/2025 dianggap sebagai darah haid kerana memenuhi syarat asas haid iaitu sehari semalam atau 24 jam serta darah yang keluar melepasi tempoh minimum suci puan. Kemudian darah tersebut berterusan keluar sehingga hari ke 14 iaitu masih tidak melebihi tempoh maksimum haid. Jadi, kesemua darah yang keluar tersebut dihukumkan sebagai darah haid walaupun darah yang keluar sedikit awal dari adat kebiasaan haid puan.
Sekian. Terima kasih.