Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b t. tuan mufti.
Saya ada satu situasi dimana isteri saya sedang mengandung anak yang ketiga. Pada usia kandungan 15 minggu, doktor mengesahkan bayi dalam kandungan menghidap Edward Syndrome. Melalui pemeriksaan, doktor memngesahkan jantung bayi dalam keadaan tidak normal (antara petanda utama Edward Syndrome) dan berkemungkinan besar tidak dapat bertahan lama selepas dilahirkan nanti akibat kombinasi kegagalan organ2
Dengan keadaan kesihatan bayi seperti ini, doktor ada menjelaskan ada dua pilihan yang perlu saya dan isteri buat. Pertama, isteri saya boleh terus mengandung dan kemudian bersalin seperti biasa. Kedua, isteri boleh gugurkan kandungan atas sebab menurut data perubatan, bayi yang menghidap Edward Syndrome ini jika lahir sekali pun memang tidak akan bertahan lama disebabkan komplikasi beberapa organ penting yang berpunca daripada kegagalan jantung untuk berfungsi seperti manusia normal.
Soalan saya;
(1) Adakah Islam membenarkan pengguguran bayi disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi oleh bayi itu sendiri seperti yang dinyatakan diatas?
(2) Jika boleh, adakah sebarang garis panduan dalam Islam yang suami & isteri perlu ikuti sebelum dan selepas proses pengguguran itu dilakukan?
Sebelum membuat sebarang keputusan, saya dan isteri ingin mendapatkan penerangan yang jelas daripada mufti agar keputusan yang kami ambil tidak melanggar hukum hakam dalam agama Islam.
Mohon pencerahan & penjelasan daripada tuan mufti.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan:
Dalam Islam hukum menggugurkan kandungan tanpa alasan yang kukuh adalah haram. Ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7 – 8 Mac 1990 memutuskan bahawa, haram menggugurkan janin di dalam kandungan, kecuali atas sebab-sebab kecacatan teruk yang membahayakan nyawa ibu. Manakala, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah memutuskan bahawa:
1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana ia dianggap sebagai satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.
2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Perlu diketahui bahawa pengguguran kandungan merupakan tindakan yang berbahaya kepada janin kerana ia secara langsung bertujuan untuk menamatkan kehidupannya. Selain itu, ia juga boleh menjejaskan keselamatan ibu terutamanya dalam keadaan tertentu yang boleh menyebabkan pendarahan teruk dan seterusnya mengancam nyawa ibu.
Namun demikian, berkaitan dengan persoalan yang diajukan, adalah penting bagi seorang ibu untuk mendapatkan penilaian dan pengesahan daripada pakar perubatan Islam terlebih dahulu. Doktor pakar akan menilai tahap kesihatan ibu dan implikasi yang mungkin timbul sekiranya kehamilan diteruskan. Sekiranya doktor mengesahkan bahawa kehamilan tersebut boleh membawa risiko serius kepada kesihatan atau nyawa ibu, maka pengguguran dibenarkan. Majoriti ulama berpandangan bahawa pengguguran kandungan dibolehkan sama ada usia kandungan kurang atau lebih daripada empat bulan sekiranya terdapat ancaman besar kepada nyawa ibu.
Sebaliknya, jika tiada risiko besar yang disahkan oleh pakar perubatan seperti keadaan ibu stabil dan selamat untuk meneruskan kehamilan. Maka hukum menggugurkan kandungan tersebut adalah haram. Dalam keadaan ini, kami mengesyorkan agar mendapatkan kaunseling daripada pakar psikologi serta nasihat pakar perubatan. Langkah-langkah yang sewajarnya ini amat penting bagi memastikan kesihatan ibu dan bayi sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Semoga Allah SWT permudahkan urusan tuan sekeluarga.
Sekian, terima kasih.