BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Saya ingin memohon penjelasan hukum daripada pihak tuan berkaitan pemasangan sistem rambut yang dikenali sebagai AMx Hair yang ditawarkan oleh syarikat Celebrity & Star Hair di Malaysia. 

Berikut adalah maklumat berkaitan sistem ini: 

1. Ia merupakan sistem rambut gantian tanpa pembedahan.

2. Dipasang menggunakan pelekat khas (adhesive) pada kulit kepala.

3. Tidak boleh ditanggalkan setiap hari.

4. Direka untuk tahan semasa mandi, berenang, tidur dan bersukan.

5. Pihak syarikat mendakwa sistem ini masih membenarkan air sampai ke kulit kepala dan tidak menghalang pelaksanaan mandi wajib. 

 

Soalan saya:

1. Adakah pemasangan sistem rambut seperti ini sah digunakan oleh lelaki Islam dari sudut syarak?

2. Jika air tidak dapat sampai secara terus ke kulit kepala, adakah mandi wajib tetap sah?

3. Sekiranya sistem ini hanya untuk tujuan kosmetik (bukan perubatan), adakah ia dikira sebagai keuzuran syarie? 

 

Saya mohon penjelasan daripada pihak tuan kerana ingin menjaga kesempurnaan ibadah seperti mandi wajib, solat dan sebagainya. 

Sekian, terima kasih atas perhatian dan penjelasan daripada pihak tuan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa hukum memakai rambut palsu adalah haram. Jumhur ulama meletakkan 2 illah atau sebab pengharamannya iaitu:

1. Unsur penipuan atau tadlis. Seandainya bahan rambut tersebut dari rambut asli atau bahan yang menyamai rambut, maka ia tidak dibenarkan kerana terdapat unsur penipuan. Namun, sekiranya pandangan umum tahu bahawa apa yang dipakai itu jelas bukan rambut asli maka ia dibenarkan kerana tiada unsur penipuan.

2. Najis. Bahan yang digunakan hendaklah dari bahan yang suci. Sekiranya dari bahan yang najis, maka ia tidak dibenarkan.

Manakala, dalam sebuah hadis daripada Asma’ binti Abi Bakr RA hukum menyambut rambut adalah haram, sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ

Maksudnya: Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya). (Riwayat Muslim)

Maka, merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Pemasangan sistem rambut sedemikian haram kerana mempunyai unsur penipuan.

2. Sekiranya air tidak sampai ke kulit kepala maka mandi wajib adalah tidak sah dan begitu juga dengan solat yang dilakukan kerana dikira masih berhadas besar. Selain itu, bahan yang digunapakai untuk sistem rambut tersebut perlu dikenalpasti sama ada ia menggunakan bahan yang halal dan suci atau sebaliknya. Jika mempunyai bahan berunsur najis maka haram memakainya.

3. Sekiranya pemasangan sistem ini untuk tujuan kecantikan bukan disebabkan penyakit atau kemalangan, maka jelas ia adalah haram. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 61

message user image