BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,saya ada beberapa soalan...

1.apa hukum memainkan game efootball yang ada klub bola yang support lgbt? tapi kita tak reda dengan lgbt.

2.apa hukum spin dalam game tapi tak gunakan wang sebenar? hanya spin menggunakan mata wang yang diperolehi daripada dalam game melalui buat mission dalam game.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Hukum asal bermain game atau mana-mana permainan elektronik adalah diharuskan. Ini berpandukan kaedah fiqah yang menyatakan:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Hukum asal sesuatu perkara adalah diharuskan, sehingga datang dalil (yang menunjukkan) pengharamannya.

Namun, sesuatu permainan boleh menjadi haram, sekiranya permainan tersebut mempunyai unsur atau perkara yang membawa pengharaman seperti:

  1. Mengandungi perkara maksiat.
  2. Menyumbang kepada syiar, pengembangan atau mempromosi agama lain.
  3. Mempunyai unsur perjudian dan khianat.
  4. Mengabaikan tanggungjawab terhadap perkara yang diwajibkan.
  5. Faktor ketagihan yang melampau.
  6. Hilang fokus terhadap realiti dan masyarakat sekeliling.
  7. Mendatangkan kemudharatan/ bahaya terhadap tubuh badan dan kesihatan kepada diri atau orang lain.
  8. Menghilangkan akhlak sebagai seorang Muslim.
  9. Mengganggu ketenteraman orang lain.

Ini berdasarkan kepada kaedah fiqhiyah :

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Sesuatu perkara yang membawa kepada yang haram, maka perkara tersebut hukumnya adalah haram.

Merujuk pada persoalan saudara, hukum bermain game efootball yang jelas menyokong LGBT adalah haram kerana seseorang Muslim terlibat secara langsung atau tidak langsung yang membantu atau menggalakkan dalam perkara maksiat. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

ۚوَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Adalah dinasihatkan supaya mencari alternatif lain sebagai contoh bermain game di syarikat yang tidak menyokong perkara-perkara haram tersebut. Perkara ini juga dilihat sebagai suatu usaha dan berhati-hati agar diri tidak terjerumus dalam perkara maksiat yang diharamkan dalam agama Islam.

2) Secara asasnya, amalan spin dengan bayaran tertentu dianggap sebagai judi yang menjadikan permainan tersebut menjadi haram. Namun, di dalam situasi menggunakan mata wang yang diperolehi daripada dalam game adalah dikira sebagai syubhah kerana mempunyai unsur pertaruhan walaupun tidak secara jelas. Sebaiknya perbuatan tersebut dijauhi. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 12

message user image