Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya ingin bertanyakan berkenaan alat timbangan yang digunakan semasa proses timbangan selepas korban dan lapah. Adakah ianya menjadi keperluan alat timbangan yang berada di surau atau masjid perlu dikalibrasi setiap tahun bagi memastikan ketepatan timbangan bagi mengelak ketidaktepatan jumlah 1/3 untuk di serah kepada fakir miskin. Kebanyakan alat timbangan ini tidak dikalibrasikan oleh pihak surau dan masjid. Amalan kalibrasi bagi pengguna luar dalam bidang perniaagan satu perkara penting untuk mengelak penipuan. Sekiranya ianya menjadi keperluan dan penting untuk mengelak ketidaktepatan timbangan bagi mengetahui jumlah berat korban menepati 1/3 untuk serahan fakir miskin perlu ke dimasukkan proses kalibrasi dilakukan menjelang hari Raya Korban sebagai garis panduan untuk perlaksaan setiap surau dan masjid.
Sekian. Terima Kasih
Yang Ikhlas
Rizal
Jawapan
Merujuk kepada soalan saudara, kalibrasi timbangan untuk pembahagian daging korban bukan syarat sah ibadah, tapi sangat penting jika timbangan digunakan sebagai asas agihan. Khususnya bagi memastikan setiap bahagian benar-benar sampai kepada mereka yang berhak. Jika alat timbangan tidak tepat dan menjejaskan hak penerima, ia boleh dianggap sebagai kecuaian dalam amanah.
Islam sangat menekankan keadilan dalam timbangan. Firman Allah S.W.T:
Makna: Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan neraca yang betul. (Surah al-Isra’, ayat 35)
Sehubungan itu, kalibrasi timbangan adalah merupakan satu amalan yang baik bagi memastikan agihan dibuat secara telus dan adil, serta menjaga hak golongan penerima. Namun, bukan lah menjadi syarat sah ibadah korban tersebut.