BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya basuh baju banyak dalam mesin basuh...salah satu baju yang saya basuh masih ada najis lagi selepas basuh dan tidak hilang rupanya...adakah baju saya yang lain yang bercampur dalam mesin basuh itu dikira najis?

Dan jika baju yang dibasuh dengan air mutannajis...adakah lembab baju itu jika terkena pada ampaian dikira berpindah najis pada ampaian?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terlebih dahulu, membasuh pakaian menggunakan mesin basuh automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. (Rujuk Garis Panduan Penggunaan Mesin Basuh JMNS atau https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=1874).

Oleh itu, berdasarkan soalan baju yang masih tidak hilang najis setelah dibasuh dengan menggunakan mesin basuh automatik termasuk dalam kategori keadaan yang susah (حَالَةُ التَّعَسُّرِ). Hal ini diperincikan di dalam al-Taqrirat al-Sadidah seperti berikut:

“Sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Jika masih lagi belum hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan-bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حَالَةُ التَّعَسُّرِ).” (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, 135)

Habib Hasan al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan susah (حَالَةُ التَّعَسُّرِ) kepada dua, iaitu:
1) Sekiranya hanya tinggal bau atau warna sahaja, maka hukumnya adalah dikira sebagai suci.
2) Namun jika yang tinggal adalah bau dan warna, atau yang tinggal itu adalah rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.

Akan tetapi, sekiranya orang yang berkepakaran menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka dinamakan bagi keadaan atau situasi ini sebagai situasi yang ada keuzuran (حالة التعذر). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya.

(Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah,136)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 59

message user image