Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz / ustazah
Soalan 1
Pada tahun 2015, saya ada membeli kereta terpakai dari pemilik berbangsa cina yang ada membela anjing.
Saya dapati di dinding bahagian dalam kereta tersebut terdapat bulu putih yang melekat bersama satu tompokon kecil berwarna jernih yang telah kering.
Saya tidak sertu kawasan tersebut kerana saya berpendapat kawasan tersebut kering dan saya juga tidak tahu samada anjing pernah masuk ke dalam kereta tersebut atau pun tidak.
Saya yakin ketika itu dan sudah pun lupa akan perkara ini. Ada beberapa kali juga kereta di hantar cuci di tempat cuci kereta.
Saya sudah menjual kereta tersebut kerana sudah tiada keperluan.
Baru baru ini saya teringat dan mula timbul rasa was was dan risau andai bulu tersebut benar benar bulu dari anjing.
Apakah hukum ibadah ibadah kami, penumpang dan pemandu yang pernah mengguna kan kereta ini.
Soalan 2
Apabila kita membeli motorsikal terpakai dari pemilik berbangsa cina yang ada membela anjing dan tiada kesan najis pada motorsikal tersebut, adakah motorsikal tersebut perlu di sertu atau cukup di basuh sahaja.
Soalan 3
Ketika berada di dalam ihram adakah boleh jemaah memakai deodorant tanpa pewangi.
Soalan 4
Ketika bertahalul ketika umrah adakah wajib memotong rambut sehingga sepanjang seruas jari bagi lelaki dan perempuan.
Harap dapat pencerahan dari ustaz / ustazah dan di dahului dengan ucapan terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Ibadah yang telah dilaksanakan adalah sah sekiranya memenuhi syarat dan rukun yang ditetapkan oleh syarak. Adapun perkara yang telah lama berlalu terutamanya jika puan tidak yakin mengenainya maka dimaafkan. Mohonlah kepada Allah SWT agar diberikan perlindungan daripada hasutan syaitan dan dijauhkan daripada perasaan was-was.
Perlu difahami bahawa hanya kawasan yang diyakini terdapat ain najis sahaja (dari anjing atau babi) yang menyebabkan kawasan tersebut perlu disertu.
Jamaah yang sedang dalam ihram tidak dibenarkan, atau tidak boleh memakai deodoran atau antiperspiran, walaupun tidak berbau. Ini kerana larangan memakai wangi-wangian termasuk dalam larangan ihram. Jika secara tidak sengaja memakainya, hendaklah segera ditanggalkan dan dilarang menggunakan wangian ketika dalam ihram,
Salah satu syarat sah tahalul dan ibadah umrah adalah wajib memotong rambut sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Tahallul itu adalah dengan menggunting atau mencukur rambut, tidak kira sama ada daripada akar ataupun daripada bahagian atas, maka ia adalah memadai. Bagi lelaki, adalah lebih afdal atau utama mencukur seluruh rambut kepala. Bagi mereka yang sudah sedia berkepala botak licin, sunat untuk melalukan mata pisau atau pencukur di atas kepala.
Sekian, terima kasih.