BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt, Ustaz/ Ustazah.

Saya mahu ajukan soalan berkaitan harta pusaka. 

Arwah Datuk saya telah meninggal Dunia pada tahun 2013 Dan meninggalkan 2 bidang tanah Dan sebuah rumah di atas salah satu tanah tersebut. Pembahagian tanah tidak pernah dibuat sehinggalah nenek saya pula meninggal Dunia pada tahun 2025. Bapa saya adalah anak sulung Dan ada 3 orang adik beradik yang lain (1 lelaki Dan 2 perempuan dewasa). Bapa saya telah berbincang dengan adik beradik untuk membahagikan tanah tersebut secara sama rata. Namun adik lelaki beliau tidak mahu bahagian beliau (tolak dengan baik). Apakah proses pembahagian tersebut dalam situasi ini ustaz/ustazah? Adakah buat Faraid dahulu kemudian baru berbincang sama rata Dan bagaimana pula dengan adik beliau yang menolak bahagian itu? Kemudian adakah rumah itu juga perlu dibuat penilaian harta untuk memudahkan pembahagian nanti? Terima kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, apabila terdapat waris menolak haknya ke atas harta pusaka si mati ketika proses pembahagian sedang dilakukan, ianya digelar sebagai takharuj. Konsep takharuj adalah di mana ahli waris menarik diri daripada menerima bahagian harta pusaka sama ada sebahagian atau kesemuanya dengan memberikan bahagiannya itu kepada waris lain sama ada dengan balasan atau tanpa balasan. Konsep takharuj ini dibenarkan dalam Islam dengan syarat semua waris yang terlibat bersetuju.

Konsep takharuj ini juga merupakan sebahagian dari hukum faraid itu sendiri kerana sebarang penolakan dan penarikan diri waris dibuat dalam batasan hak dan kadar yang ditetapkan oleh syarak. Dalam kaedah pembahagian pusaka yang melibatkan takharuj, cara pengiraannya adalah:

  1. Wajib dapatkan pengiraan faraid bagi kesemua waris yang berhak ke atas harta pusaka datuk terlebih dahulu bagi mengetahui bahagian faraid masing-masing,
  2. Kemudian, tentukan bahagian waris-waris penerima mengikut bentuk yang telah dipersetujui bersama iaitu dengan kaedah pembahagian sama rata.

Adapun, semua harta pusaka si mati perlulah dibuat nilaian (anggaran sahaja) supaya memudahkan ahli waris membuat pertimbangan sebelum keputusan pembahagian dibuat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 6

message user image