Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya mengenai lafaz taklik. Pada raya tahun ini saya ada bergaduh dengan isteri kerana isteri mengeluh penat memasak setiap kali balik ke kampung saya. Saya terlepas cakap 'mulai hari ini aku haramkan kau masak untuk family aku. Kalau kau masak gak tanpa izin aku, aku ceraikan kau dengan talak 1.'
Selepas kami berbaik isteri saya akan meminta izin saya terlebih dahulu sebelum memasak di kampung. Soalannya pertama: iadakah lafaz taklik tersebut akan digunakan sampai bila2 dan isteri wajib minta izin saya sebelum memasak walaupun hanya sekadar membancuh air untuk keluarga saya?
Soalan kedua: Saya sering outstation, jika tiba2 isteri terlupa minta izin saya untuk masak di kampung, adakah jatuh talak 1?
Sekian, terima kasih
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan,
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ucapan suami: "Kalau kau masak gak tanpa izin aku, aku ceraikan kau dengan talak 1", boleh membawa kepada berlakunya taklik talak. Jika ucapan suami: "aku ceraikan kau dengan talak 1" bermaksud hasrat atau janji akan menceraikan isteri jika isteri memasak tanpa izin suami, maka lafaz itu tidak dianggap sebagai taklik talak. Jika isteri memasak tanpa izin suami, suami perlu melafazkan talak untuk menceraikan isteri.
Namun jika dari ucapan itu, suami bermaksud jatuh talak secara serta merta, maka taklik talak boleh berlaku.
1. Sekiranya apa yang dimaksudkan oleh suami adalah talak jatuh dengan serta merta atau automatik jika isteri masak tanpa izin suami, maka taklik talak boleh berlaku. Jika taklik talak berlaku, ia tidak boleh dibatalkan atau ditarik balik.
2. Jika isteri terlupa sekalipun dan taklik itu dilanggar olehnya maka talak boleh jatuh.
Walau bagaimanapun, dalam menentukan sama ada suatu lafaz taklik itu sah adalah di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh itu, disarankan agar perkara ini dirujuk kepada Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat.
Terima kasih.