Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Soalan saya berkaitan dengan daimul hadas.
1. Adakah boleh dia menjadi imam?
2. Bagaimana pula jika dia menjadi khatib dan imam solat jumaat?
3. Bagaimanakah niat wuduk yang perlu ditetapkan?
4. Adakah perlu diqada semula solat sebelum ini disebabkan kekhilafan pada niat wuduk?
5. Adakah boleh makmum mengikut imam yang berwuduk dengan niat "mengharuskan solat"?
5. Jika keadaan daimul hadas nya tidak konsisten, bagaimanakah hendak membezakan niat berwuduk biasa dan niat berwuduk mengharuskan solat?
6. Jika dia berniat "sahaja aku berwuduk kerana allah", adakah niat ini turut memada bagi daimul hadas?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya, keadaan bagi seseorang yang daimul hadath atau sentiasa berhadas menurut pandangan para fuqaha' adalah mengambil hukum istihadhah (keluar darah) bagi perempuan. Mereka ini dikategorikan sebagai golongan yang ‘uzur’ dalam erti kata yang lainnya terdapat hukum yang khusus buat golongan ini dalam bab taharah. Maka bagi keadaan sebegini, pesakit perlu merujuk kaedah berikut dalam pelaksanaan ibadah solat:
Kaedah ini hanya membolehkan seseorang melaksanakan satu solat fardhu dan seberapa banyak amalan sunat selagi tidak batal wuduk. Apabila ingin melaksanakan solat fardhu seterusnya, maka wajib diulang semula kaedah bersuci di atas. Jika keluar mazi atau air kencing sebelum mendirikan solat seperti ketika mendengar khutbah, maka perkara tersebut dimaafkan.
Justeru itu, apabila pesakit daimul hadas telah menuruti tatacara taharah sebagaimana yang dijelaskan, maka dia diharuskan menjadi imam dan khatib. Hal ini sebagaimana djelaskan dalam Minhaj al-Talibin:
Maksudnya: Pandangan al-Asah adalah sah orang sihat mengikut imam yang kencing tidak lawas
Oleh itu, menurut pandangan muktamad di dalam mazhab Shafii adalah sah bagi pesakit daimul hadas menjadi imam solat kepada orang yang sihat, kerana sah solat orang daimul hadas serta tidak perlu dia mengulangi kembali solat tersebut. Bahkan Imam ad-Damiri menjelaskan bahawa sah bagi pesakit daimul hadath menjadi imam adalah qiyas kepada keadaan seseorang yang menanggung najis yang dimaafkan ke atasnya sama ada di anggota badan mahupun bajunya.
Sekian, terima kasih.