Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Pertanyaan saya, apakah hukum gaji seorang "paid dealer representative" (orang tengah antara syarikat broker saham dan pelanggan) yang bekerja dengan bank pelaburan yang bercampur dengan riba (konvensional)? Adakah harus? kerana hanya terdapat satu sahaja bank pelaburan yang berstatus islamic full-fledge di Malaysia. Bank lain semuanya hanya berstatus window. Jadi peluang kerja bersama bank pelaburan yang berstatus islamic full fledge adalah sangat terhad. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, adalah menjadi suatu kefardhuan terhadap setiap orang Islam untuk memastikan sumber rezeki yang diperolehi adalah dari sumber yang halal. Hal ini, termasuklah dengan mengenalpasti punca pendapatan dan atas dasar apa sesuatu urusniaga itu dijalankan. Keraguan pada perkara-perkara ini dibimbangi mencampakkan seseorang ke dalam perkara-perkara yang haram tanpa disedari. Di dalam isu bekerja sebagai “paid dealer representative”, perlu juga difahami apa tugasan atau job description untuk bidang tersebut, berdasarkan kefahaman kami, ia bertindak sebagai orang tengah antara syarikat broker saham dan juga pelanggan. Sebahagian ulamak kontemporari berpandangan bahawa harus hukumnya bekerja dalam bank yang tidak berkaitan secara langsung dengan Riba seperti pengawal keselamatan, bendahari, penyelidik, penyelia bangunan dan mesin, dan sebagainya. Oleh itu, seandainya gaji yang dibayar kepada seorang paid dealer representative bukanlah atas urusan kontrak riba maka harus hukumnya bekerja sebagai paid dealer representative. Walau bagaimanapun seseorang individu muslim yang bertugas sebagai paid dealer representative mestilah berhati-hati dengan saham-saham yang tidak patuh syariah kerana ia boleh menjejaskan status halal pendapatan yang diperolehi kerana bersyubhah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.