Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan,
Tempat saya bekerja ada bagi RSU ( Restricted Stock Unit) . Setiap tahun company bagi beberapa unit RSU. Selain itu, ada juga program ESPP yang saya join ( Employee Stock Purchase Plan - Program untuk employee membeli stock company dengan harga diskaun sebanyak 20%). Untuk program ESPP, setiap bulan gaji saya akan ditolok 15% untuk stock purchase.
Soalan saya apa hukum, adakah boleh saya terlibat, ( company US, tiada syariah compliance pada pendapat saya), dan ada unsur riba ke ?
Terima kasih atas pencerahan
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umunya
Secara prinsipnya, pemilikan saham dalam syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan halal dan patuh syariahadalah harus, malah digalakkan jika ia menjadi pelaburan yang bermanfaat. Walau bagaimanapun, jika syarikat tersebut menjalankan aktiviti teras yang haram (seperti arak, judi, riba, pelacuran, dsb.) atau struktur kewangannya berasaskan riba dan tidak ditapis, maka hukum memiliki saham syarikat tersebut adalah haram, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada al-Nukman Bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Namun, jika syarikat itu bukan sepenuhnya haram (contohnya syarikat teknologi), tetapi terdapat elemen tidak patuh syariah seperti pinjaman riba atau pelaburan dalam instrumen konvensional, maka ulama’ kontemporari menetapkan beberapa parameter saringan syariah. Jika syarikat melepasi saringan itu, sahamnya dikira patuh syariah secara nisbah, dan pelaburan boleh dibuat dengan syarat pembersihan keuntungan (cleansing).
Berdasarkan maklumat yang diperolehi dan difahami daripada soalan yang diajukan
RSU (Restricted Stock Unit)
Jika saham diberi percuma tanpa syarat yang bercanggah dengan syarak, maka ia dianggap harus diterima sebagai hadiah atau ganjaran kerja.
Namun, jika syarikat tersebut tidak patuh syariah seperti terlibat dalam riba, arak, judi atau lain-lain aktiviti yang melanggar syarak, maka tidak harus menyimpan saham tersebut.
Saranan: Jual saham itu sebaik sahaja dibenarkan, dan bersihkan (cleansing) bahagian keuntungan yang berkaitan dengan aktiviti tidak patuh syariah dengan menyerahkan hasil yang tidak patuh syariah kepada Majlis Agama Islam Negeri selaku agensi yang bertanggungjawab untuk menguruskan dana yang tidak patuh syariah untuk kepentingan dan maslahat umat Islam.
ESPP (Employee Stock Purchase Plan)
Program ini melibatkan pelaburan wang sendiri untuk membeli saham syarikat. Jika syarikat tidak patuh syariah, maka tidak harus menyertai program ini.
Walaupun ada diskaun 20%, ia tidak mengubah hukum asas, kerana kita tetap membeli saham dalam syarikat yang haram atau syubhah.
Sekian, terima kasih.