BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada persoalan mengenai situasi rumahtangga. Rumah yang diduduki sekarang isteri yang bayar installment dan nama dlm S&P pun nama dia. Ini dibuat atas persetujuan bersama ketika membeli rumah tersebut. Perbelanjaan rumah dan lain-lain keperluan ditanggung oleh saya.

Ada terjadi satu perselisihan faham dan isteri telah melarang untuk saya pulang ke rumah. Adakah haram sekiranya saya tetap pulang ke rumah ? (ada terjumpa satu kenyataan yang menyebut apabila Tuan rumah telah melarang untuk kita pergi ke rumah, maka haram untuk kita berkunjung ke rumah tersebut)

Mohon penjelasan. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, tidak jatuh hukum haram sekiranya tuan tetap pulang ke rumah walaupun telah dilarang isteri walaupun rumah tersebut milik isteri. Kekayaan isteri dalam memiliki harta seperti kereta, rumah, wang sehinggakan rumah yang didiami pasangan suami isteri itu juga hak milik isteri sendiri, bukanlah menjadi satu tiket yang membenarkan isteri bertindak melarang suami daripada untuk pulang ke rumah kediamannya. Pada hakikatnya harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan boleh dianggap sebagai harta sepencarian antara suami dan isteri. 

Melihat konteks dari sudut hukum, isteri tersebut boleh dikira sebagai berdosa kerana berkelakuan tidak baik terhadap suaminya. Ini kerana kewajipan seorang isteri ke atas suaminya adalah mentaati suaminya selagi mana ianya tidak bertentangan dengan hukum syarak. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 34:

...ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.

Namun, sekiranya berlaku perselisihan faham sesama suami isteri, dinasihatkan kepada pihak tuan agar mengambil pendekatan secara damai dengan menyelesaikan konflik tersebut dengan cara yang matang dan bersikap terbuka serta toleransi sesama pasangan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 54

message user image