Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamaualaum Ustaz. Soalan saya, bolehkan jemaah dari sebuah sekolah tahfiz di negeri Selangior dibawa masuk ke Negeri Sembilan semata mata untuk mencukupkan Solat Jumaat di surau tersebut. Sahkan atau tidak solat Jumaat tersebut. Terima kasih
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya para pelajar tahfiz tersebut dihukumkan sebagai golongan muqim yang tidak bermastautin. Maka dalam hal ini, Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab mengatakan terdapat dua pandangan tentang status solat Jumaat mereka yang muqim tanpa mastautin:
Maksudnya: Adakah orang yang mukim yang bukan mustatutin memenuhi syarat pelaksanaan solat Jumaat? Dalam hal ini ada dua pendapat. Menurut Abu Ali Ibn Abi Hurairah, solat Jumaat (orang yang muqim) adalah memenuhi syarat pelaksanaan solat Jumaat kerana mereka wajib menunaikan solat Jumaat sebagaimana orang yang mustautin. Menurut Abu Ishaq pula, solat Jumaat (orang yang muqim) tidak memenuhi syarat pelaksanaan solat Jumaat.
Meskipun begitu, Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab tatkala menyebutkan tentang kewajipan solat Jumaat bagi enam golongan, berkata:
Maksudnya: Keenam: Golongan yang wajib menunaikannya dan sah menunaikannya. Manakala berkenaan berlakunya solat Jumaat itu terdapat khilaf. Golongan ini ialah muqim yang bukan mustautin.
Maksudnya: Dalam hal ini ada dua pendapat (wajh) yang dinyatakan dalam kitab (yakni al-Muhazzab). Pendapat yang asah ialah solat Jumaat tidak sah dengan golongan ini.
Berdasarkan pandangan para ulama mazhab Shafi’i di atas, terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan golongan muqim termasuk dalam bilangan 40 orang yang wajib ada dalam menunaikan Solat Jumaat. Pendapat yang asah yang juga pendapat al-Nawawi menyatakan bahawa golongan muqim tidak termasuk dalam bilangan 40 orang jemaah yang wajib tersebut. Namun begitu, pendapat Abu Ali Ibn Abi Hurairah pula menyatakan golongan muqim termasuk dalam bilangan 40 orang jemaah tersebut.
Justeru, pendapat Abu Ali Ibn Abi Hurairah wajar untuk dijadikan sandaran meskipun ia bukanlah pendapat yang asah. Berdasarkan pendapat ini, solat Jumaat tetap sah dengan menjadikan golongan muqim termasuk dalam 40 ahli Jumaat sebagaimana golongan mustautin.
Kesimpulannya, orang yang bermukim atau menetap di suatu tempat boleh mencukupkan bilangan 40 orang untuk solat Jumaat di tempat lain, asalkan mereka memenuhi syarat-syarat sah solat Jumaat, termasuk menjadi lelaki, baligh, berakal, dan merdeka. Selain itu, mereka juga perlu bermukim di kawasan tersebut dan tidak sedang dalam keadaan bermusafir.
Sekian, terima kasih.