BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Salam, saya mempunyai soalan berkaitan isu hak pemilikan tanah dan hukum jual beli.

 

A telah berjanji untuk memberi hak pemilikan tanah kepada B secara lisan tanpa hitam putih pertukaran nama di atas geran, dan berpegang pada perjanjian lisan tersebut B telah menguruskan tanah itu dengan tujuan pertanian.

 

Setelah beberapa tahun A telah meninggal dunia dan urusan pertukaran pemilikan kepada B masih tidak dilakukan oleh pihak A, pada masa yang A telah gagal melakukan pembayaran cukai tanah kepada pejabat tanah dalam tempoh yang lama dan menyebab kan hak pemilikan tanah A telah dilucutkan oleh pihak kerajaan.

 

Tanah A telah diambil pemilikannya dan C telah melakukan permohonan secara undang undang kepada pihak kerajaan untuk memiliki tanah tersebut secara pemilikan baru. Setelah selesai urusan pembaharuan pemilikan C dengan pihak kerajaan, C telah bertindak menjual tanah tersebut kepada pihak D. 

 

D sebagai pemilik tanah yang baru dan sah secara undang undang juga merancang untuk menjual tanah yang dibeli dari C tersebut kepada pemilik baru iaitu E.

 

Soalan saya,

 

1. Apakah hukumnya jika E bertindak membeli tanah dari D sedangkan hak asal tanah tersebut adalah dari perjanjian lisan A kepada B. Adakah menjadi haram atau sebaliknya?

2. Adakah sah proses jual beli yang dilakukan oleh pihak C dengan kerajaan yakni mengangkat permohonan baru untuk pemilikan tanah yang telah dicabut hak asalnya dari A disebabkan kegagalan membayar cukai tanah kepada pihak kerajaan.

 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umumnya, janji lisan A kepada B untuk memberikan tanah adalah termasuk dalam kategori wa‘d (الوعد) atau janji. Hukum asal menunaikan janji adalah wajib berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 1:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian

Meskipun memenuhi janji adalah wajib, namun dalam isu pemilikan tanah dalam Islam tidak sempurna tanpa berlaku ijab-qabul pemindahan milik yang sah dan mampu disabitkan bukti (bayyinah). Dalam kes ini, tiada dokumen rasmi dan tiada pemindahan nama dalam geran tanah dilakukan, maka secara hukum pemilikan, tanah itu masih milik A sehingga dilucut hak.

Apabila kerajaan melucutkan hak A dan mengurniakan kepada C melalui prosedur yang sah, maka secara hukum negara dan ‘urf, pemilikan itu berpindah kepada C, dan jual beli seterusnya kepada D dan E adalah sah.

Dari sudut syarak, E tidak berdosa membeli tanah tersebut kerana pemilikan sebelumnya telah berpindah secara sah dan bebas daripada tuntutan milik yang sah di sisi undang-undang. Apa yang berlaku antara A dan B adalah isu moral janji yang tidak dilunaskan, bukan isu menghalalkan atau mengharamkan pemilikan baru.

Manakala Isu hak B, B tidak lagi mempunyai hak pemilikan secara undang-undang mahupun syarak ke atas tanah itu setelah ia dilucut hak oleh kerajaan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.    


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 6

message user image