BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Boleh bagi kata jelas hukum menggunakan Apps Mova?

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, aplikasi MOVA ialah aplikasi yang ditubuhkan dari negara China. Ia adalah aplikasi pihak ketiga yang membolehkan pengguna memperoleh pulangan tunai (cashback) ketika berbelanja di platform popular seperti di Shoppee, Tik tok, dan Lazada. Selain itu, pengguna (MOVA User) boleh mendaftar sebagai MOVA Partner untuk menjana pendapatan dengan menjemput orang lain menyertai MOVA. 

Pendapatan dijana berbeza antara MOVA user dengan MOVA partner. Pengguna boleh mendaftar aplikasi ini secara percuma dan akan mendapat pulangan tunai dari pembelian sendiri. Pulangan tunai yang diperolehi boleh mencecah sehingga 20% bergantung kepada produk dan jumlah pembelian.

Manakala untuk mendaftar MOVA partner, yuran dikenakan adalah sebanyak RM199 atau RM299 tanpa referral (perujukan pelanggan baharu). Melalui pendaftaran sebagai MOVA partner, mereka layak untuk menerima komisyen RM75 (untuk setiap individu yang mendaftar menggunakan pautan yang dikongsikan), RM35 dan RM10 untuk pendaftaran peringkat pertama dan kedua serta bonus tambahan berdasarkan jumlah ahli di bawah mereka. 

Berdasarkan huraian tentang aplikasi MOVA di atas, harus bagi pengguna MOVA untuk mendapat pulangan tunai (cashback) hasil pembelian barangnya.

Namun begitu, bagi MOVA partner, sistem yang digunakan adalah menyerupai jualan langsung secara pemasaran berbilang tingkat (Multi Level Marketing / MLM). Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada mengeluarkan Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi-Level Marketing) Menurut Syariah sebagai panduan bagi pengguna atau masyarakat yang ingin terlibat dengan MLM supaya mematuhi kriteria MLM yang diharuskan serta unsur-unsur larangan yang tidak dibenarkan dalam Islam. Secara umum, antara syarat yang mesti dipatuhi di dalam Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi-Level Marketing) berdasarkan Garis Panduan JAKIM:

  • Untuk menajdikan perniagaan dan skim ini halal dan patuh syariah, MLM mesti utamakan produk atau perkhidmatan nyata, bukan hanya fokus pada perekrutan ahli semata-mata.

  • Yuran pendaftaran perlu munasabah, menampung kos pengurusan atau business kit saja, kerana perniagaan tidak boleh menjana keuntungan semata dari yuran tanpa ada perniagaan yang jelas.

Adalah dinasihatkan kepada semua pengguna untuk berhati-hati dan memastikan terlebih dahulu perniagaan yang dijalankan supaya tidak terlibat dengan perkara yang dilarang Islam serta perkara yang boleh menindas mana-mana pihak. 

Pautan: https://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_mlm.pdf 

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 3

message user image