Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apa hukum khatib membaca khutbah, apabila sampai dekat (rukun) doa اللهمَّ اغفر للمومنين Khatib membca 'allahumma' tidak cukup harakat mimnya ( tidak bertajwid), sebutannya betul. Adakah sah atau tidak solat jumaat pada hari itu? Mohon rujukan sekali, ada ustaz yang menyatakan tidak sah dan kena buat solat zohor.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, bacaan secara bertajwid hanya tertakluk kepada bacaan al-Quran sebagaimana firman Allah SWT : أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا Maksudnya : “Dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (Al-Muzzammil : 4) Sedangkan ketika berzikir dan berdoa tiada kefardhuan untuk bertajwid. Walau bagaimanapun, ia juga tidak boleh dibaca secara sesuka hati. Memandangkan ia adalah bahasa Arab, maka hendaklah diungkapkan sebaik mungkin agar maknanya tepat dengan ayatnya. Oleh itu, walaupun doa dalam khutbah adalah rukun, namun khutbahnya sah kerana tidak disyaratkan secara bertajwid. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.