BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Ayah saya berkahwin baru selepas mak saya meninggal.Saya ada ibu tiri, dia bawa ayah nya tinggal bersama dan berkongsi bilik air dengan saya, tiada kawasan asing dan kadang2 saya ditinggalkan berdua sahaja dengan atuk tiri itu dirumah, apakah ayah kepada ibu tiri saya mahram atau bukan mahram bagi saya yg perempuan ni? Ada yang kata mahram ada yang kata bukan saya keliru. 


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam Islam, mahram ialah seseorang yang haram dikahwini selama-lamanya, sama ada kerana hubungan darah, penyusuan, atau perkahwinan.

Contoh mahram melalui perkahwinan ialah:

  • Bapa tiri (suami ibu kandung) –  dengan syarat berlaku persetubuhan antara ayah dan ibu tiri .

  • Menantu lelaki atau perempuan (suami kepada anak perempuan, contohnya).

  • Ibu mertua, ayah mertua.

Berdasarkan soalan yang diajukan, ayah kepada ibu tiri (atuk tiri) tidak ada hubungan mahram secara nasab atau perkahwinan dengan saudari. Dia bukan mahram kepada saudari kerana:

  1. Saudari bukan cucunya (secara nasab).

  2. Saudari tiada hubungan perkahwinan dengan dia (bukan menantu atau ipar).

  3. Saudari bukan anak angkat atau anak susuan yang disusukan oleh isterinya.

Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.- Riwayat Muslim

Oleh yang demikian, ayah kepada ibu tiri (atuk tiri) adalah bukan mahram dengan saudari. Maka disarankan agar saudari boleh berbincang dengan bapa dan cuba menyuarakan perkara ini dengan lebih harmoni supaya tidak ada pihak yang salah faham dan terasa hati. Dinasihatkan agar perbincangan mengenai perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Selain itu, nyatakan  bahawa saudari ingin menjaga batas-batas yang telah ditetapkan dalam Islam dan sebagai perlindungan diri dari fitnah orang lain. Disamping itu, saudari dinasihatkan untuk tidak bersendirian tinggal di rumah dengan atuk tiri dan perlu menjaga batas pergaulan dan perkara yang paling perlu dititikberatkan adalah menutup aurat ketika berhadapan dengan beliau.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 72

message user image