BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. 1) Saya dengan rendah diri ingin bertanya tentang hukum jika seorang perempuan berkahwin dengan lelaki lain dengan niat untuk “cina buta”? Ia tidak di ketahui oleh lelaki yang dikahwininya ketika itu. Hanya perempuan tersebut dengan bekas suaminya sahaja yang mengetahui tentang “cina buta” itu, dan perbelanjaan urusan perkahwinan di Thailand dengan lelaki itu ditanggung oleh bekas suami, hanya mas kahwin sahaja diberikan oleh lelaki yang baru dinikahinya, lelaki yang baru dinikahinnya itu adalah pilihan perempuan itu sendiri. Adakah perempuan tersebut boleh mengahwini bekas suaminya kembali? 2) Jika pada hari pernikahan tersebut, pada malam pertama itu mereka bersetubuh dengan memakai alat perlindungan(condom), adakah ia sah? Adakah perempuan tersebut boleh menikahi bekas suaminya semula selepas perceraian? Sekian,terima kasih.Diharap pihak tuan/puan dapat memberikan penjelasan kepada soalan tersebut.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, dalam sesuatu perkahwinan, akad nikah dilafazkan oleh suami. Oleh itu niat isteri tidak menjejaskan sesuatu akad nikah, jika telah memenuhi rukun dan syaratnya. Istilah “cina buta” tidak ada dalam Islam. Ia merupakan syarat bagi pasangan yang bercerai talak tiga, jika ingin kembali sebagai pasangan suami isteri, iaitu isteri perlu dinikahkan oleh orang lain, barulah ia boleh berkahwin semula dengan bekas suaminya. Setelah memenuhi lima syarat seperti berikut: i. Selesai iddah daripada suami yang menceraikannya. ii. Bekas isteri telah berkahwin semula dengan lelaki lain. iii. Telah disetubuhi oleh suaminya yang baru secara sempurna. iv. Status isteri merupakan orang yang dicerai bain oleh suami yang baru. v. Selesai iddah daripada suami kedua (baru). Firman Allah SWT : فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّىٰ تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يَتَرَاجَعَا إِنْ ظَنَّا أَنْ يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ ۗ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ والله أعلم بالصواب Maksudnya : “Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.” (Al-Baqarah : 230) Berhubung persoalan puan, perkahwinan perempuan tersebut di Thailand perlu disahkan dan didaftarkan semula di Malaysia. Disamping itu, perlu memenuhi syarat-syarat di atas. Jika tidak didaftar, rekod beliau masih lagi berstatus talak bain kubro yang tidak boleh dikahwini semula oleh bekas suaminya. Berkaitan dengan penggunaan kondom, ia tidak menjejaskan syarat telah disetubuhi. Perkahwinan dengan suami kedua tidak boleh disyaratkan supaya diceraikan. Dalam erti kata lain, ia menjadi hak mutlak suami itu terus kekal sebagai suami isteri. Perlu diingat bahawa terdapat hadis yang menyebut bahawa perbuatan mengatur sesuatu perkahwinan dengan tujuan supaya dapat berkahwin dengan isteri yang dicerai bain kubro adalah dilaknat oleh Allah SWT, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: لعن الله المحل والمحلل له Maksudnya : “Allah melaknat al-muhillu (laki-laki yang menikahi seorang wanita, dengan tujuan agar wanita tersebut dibolehkan menikah kembali dengan bekas suaminya yang telah menjatuhkan talak tiga padanya) dan al-muhallal lahu (laki-laki yang menyuruh laki-laki lain/al-muhillu untuk menikahi bekas isterinya supaya bekas istrinya tersebut dibolehkan untuk ia dinikahi semula.)” (Riwayat Abu Daud) Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 442

message user image