Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Saya ingin bertanyakan beberapa soalan.
1. Apakah hukum suami yang berhutang dengan isterinya? Sebagai contoh, dia ingin membeli sesuatu barang secara online dan tak pandai menggunakan platform online seperti Shoppe/Lazada, dengan alasan, nanti akan dibayar semula. Tapi, walaupun isteri mengingatkan, dia tak membayar. Bolehkah isteri tak halalkan hutang tersebut dan anggap hanya halal apabila melunaskan hutang tersebut?
2. Apakah hukum suami yang marah tanpa sebab dan mempunyai niat untuk memudaratkan keselamatan seorang isteri dan keluarga? Sebagai contoh, dalam keadaan yang marah terhadap isteri, memandu dalam keadaan yang cuai dan membahayakan diri sendiri, keluarga, serta pengguna jalan raya yang lain?
3. Apakah hukum seorang suami yang meninggalkan isteri dan keluarga tanpa apa-apa khabar berita, tapi kerana melalui tracking app seperti Life360, isteri tahu keberadaan suami? Adakah dianggap sebagai hilang atau tidak?
4. Apakah hukum terhadap keluarga suami terhadap isteri dan keluarga sekiranga suami menghilangkan diri tanpa khabar? Bolehkah isteri meminta bantuan keluarga suami untuk membayar hal-hal seperti sewa rumah, bil api dan air dll?
5. Apakah seorang suami itu masih lagi dikategorikan dalam kategori orang Islam sekiranya dia berhenti bersolat?
Jawapan
Merujuk soalan yang diajukan,
Pertama: Hukum suami meminjam duit isteri adalah dikira tetap berhutang dengan isteri selagimana dia belum melunaskan hutang tersebut. Ini kerana hutang tersebut tidak gugur hanya kerana status suami yang meminjam kepada isteri. Hukumnya ialah wajib dibayar semula. Isteri juga berhak untuk tidak menghalalkan selagi suami belum membayar. Disamping itu juga, jika suami ditakdirkan meninggal dunia sebelum menyelesaikan hutang tersebut, maka hutang tersebut boleh diambil daripada harta pusaka suami sebelum diagihkan kepada waris. Namun begitu, bicara hal hutang sebegini kadangkala memerlukan budi bicara diantara suami dan isteri. Disarankan agar suami dan isteri boleh berbincang dengan tenang untuk menangani isu ini.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Imran:-
وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّاكَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ
Maksudnya: Barangsiapa berkhianat, nescaya pada hari kiamat, dia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu. Kemudian tiap-tiap orang akan diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang dilakukannya dan mereka tidak dizalimi.
Kesimpulannya suami wajib membayar hutang dengan isterinya melainkan jika isterinya menghalalkannya maka terangkatlah kewajipan membayar hutang dari suaminya dan itulah yang sebaiknya.
Kedua: Hukum suami yang suka marah tanpa sebab adalah berdosa besar bilamana membahayakan nyawa isteri dan keluarga. Memandu kenderaan dalam keadaan yang marah adalah sangat bahaya. Ini kerana boleh melibatkan kemalangan yang teruk berlaku. Dinasihatkan apabila berlaku lagi keadaan sebegini perkara yang paling utama adalah memakai tali pinggang keselamatan dan cuba mengelakkan dari bercakap isu-isu yang boleh mengundang pergaduhan diantara suami dan isteri. Jika suami dalam keadaan marah, isteri boleh diam seketika dan elak dari membalas dengan kata-kata yang boleh menyebabkan marah. Apabila suasana reda, nasihati suami dengan kata-kata lembut, ingatkan bahawa tindakannya berdosa dan bahaya untuk dirinya serta keluarga.Sebenarnya, hal sebegini masih boleh dibincangkan bersama dengan kesabaran dan hikmah bijaksana seorang isteri terhadap suaminya. Di samping itu, isteri digalakkan untuk mendoakan kesejahteraan suami agar berlembut hati dan tidak marah-marah lagi. Ini kerana doa adalah senjata orang yang beriman. Kebergantungan seseorang dengan Allah SWT akan memberikan impak yang besar dalam kehidupan seseorang agar lebih tenang. Setiap sesuatu yang berlaku dengan izin Allah SWT, suatu hari nanti akan lembutlah hati suami nanti. Selain itu, menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah Al Imran ayat 134:-
الذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ
Maksudnya: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.
Ketiga: Hukum suami yang meninggalkan isteri tanpa berita adalah berdosa. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Suami dan isteri haruslah berkomunikasi dengan baik supaya tidak menyebabkan salah seorang membawa diri dan memendam rasa. Ini kerana komunikasi berkesan antara pasangan memainkan peranan utama. Tanpa berkomunikasi kedua-dua belah pihak akan mudah salah faham sejurus itu mulalah melakukan hal masing-masing tanpa pengetahuan pasangan. Didalam situasi sebegini, jika lokasi suami masih boleh dikesan sebagai contoh melalui aplikasi Life360, maka suami tersebut tidaklah dikira hilang kerana ada bukti dia masih wujud cumanya ia dikira meninggalkan tanggungjawab tanpa sebarang pemberitahuan. Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan lama terjadi di dalam rumahtangga. Suami dan isteri boleh cuba menjalani sesi kaunseling di pejabat agama daerah tempat tinggal. Sedikit sebanyak pegawai disana boleh membantu sebagai pemudah cara bilamana pasangan menghadapi masalah dan kebuntuan cara untuk menyelamatkan rumahtangga. Ini kerana perkara sebegini juga akan menjadi permulaan kepada bibit-bibit penceraian. Walaubagaimanapun sekiranya keadaan menjadi lebih teruk dan tidak terkawal setelah melakukan pelbagai usaha penambahbaikan, maka isteri berhak menuntut hak di mahkamah syariah sama ada tuntutan nafaqah atau fasakh tanpa menunggu bertahun-tahun jika suami meninggalkan isteri tanpa nafaqah zahir & batin lebih 3 bulan berturut-turut, yangmana ianya termaktub dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia.
Keempat: Jika suami menghilang tanpa khabar, hukum asalnya keluarga suami tidak berdosa jika mereka tidak membantu, kerana itu bukan kewajipan mereka tetapi kewajipan suami. Dosa tetap jatuh kepada suami jika melarikan diri dan meninggalkan tanggungjawab. Namun begitu, mereka digalakkan membantu atas dasar ihsan & silaturahim, terutama jika isteri & anak-anak benar-benar susah. Isteri boleh cuba meminta bantuan keluarga suami membayar hal-hal seperti sewa rumah, bil api dan air akan tetapi mereka tidak wajib menanggung dan mereka juga tidak berdosa jika tidak membantu. Disini hanya mengharapkan sifat ihsan daripada kalangan keluarga suami untuk perkara sebegini. Ini kerana semua ini adalah tanggungjawab suami yang diwajibkan untuk memberi nafaqah kepada isterinya. Ini seperti mana firman Allah SWT di dalam surah Al Baqarah ayat 233:-
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
Kelima: Berdasarkan soalan yang diajukan, ianya adalah bergantung kepada niat seseorang iaitu:-
Jika meninggalkan solat kerana malas, tetapi masih meyakini kewajipan solat, dalam Mazhab Syafi'i, orang yang meninggalkan solat fardhu dengan sengaja kerana malas, tetap dianggap berdosa besar tetapi tidak dihukum kafir selagi dia meyakini kewajipannya. Hukumnya fasik dan melakukan dosa besar.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Ma'un ayat 4 dan 5:-
Maksudnya: Maka celakalah orang-orang yang solat; iaitu orang-orang yang lalai terhadap solatnya.
Akan tetapi jika meninggalkan kerana mengingkari kewajipan solat seseorang itu dikira menolak kewajipan solat, dia dihukum kafir murtad, walaupun dia kadang-kadang solat. Ini kerana ia mengingkari perkara yang ma‘lūm min al-dīn bi al-darūrah (diketahui secara pasti dalam agama). Firman Allah SWT di dalam surah Al Baqarah ayat 114:-
Maksudnya: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang melarang di dalam masjid-masjid Allah untuk menyebut namaNya, dan berusaha untuk meruntuhkannya? Mereka mendapat kehinaan di dunia dan diakhirat mendapat azab yang berat.
Sekian, terima kasih.