Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak bertanya mengenai talak bersyarat . Saya dan suami ada bergaduh dan suami dalam keadaan marah menghantar pesanan mesej yang mengatakan "Selepas ini sesiapa yang tumpang kereta isteri selain keluarga jatuh talak" . Selepas berbaik suami mengatakan pada waktu tersebut dia terlalu marah Dan tidak berniat Dan membatalkan talak syarat tersebut.
Syarat talak tersebut Masih belum berlaku sehingga sekarang, adakah talak bersyarat itu Masih berlangsung atau sudah terbatal ya ?
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, ayat suami "selepas ini sesiapa yang tumpang kereta isteri selain keluarga jatuh talak" merupakan talak taklik bersifat insya'i (talak berlaku dengan serta-merta), maka apabila berlakunya keadaan sedemikian boleh berlaku talak kepada isterinya. Lafaz taklik adalah sah selama-lamanya dan tidak terbatal sehinggalah perkara yang di'taklik'kan itu dilakukan.
Berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor Bil.3/2003 yang bersidang pada 8/10 Ogos 2003 berkenaan: Hukum Cerai MelaluI SMS, memutuskan bahawa:
i. Hukum penceraian melalui SMS adalah sah dan jatuh talaknya sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut:
a. Bahawa pengirim SMS itu adalah suami.
b. Bahawa penerima SMS adalah isteri.
c. SMS itu telah pun dibaca oleh penerima.
d. Suami berniat untuk menceraikan isteri.
ii. Penceraian melalui SMS yang tidak memenuhi syarat-syarat dalam perkara di atas adalah tidak sah dan ianya ditentukan oleh Mahkamah Syariah.
Tuan/puan disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan lafaz talak adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.