BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalammua’laikum ustaz, saya nk tanya, jika sebelum ni pernah terbagi duit haram atau syubhah masuk dalam akaun ibu saya maka telah bercampur duit bank dia tu halal dan haram dalam satu akaun dia, kemudian saya pinjam duit cash dia untuk nak cari kerja, jadi saya pun telah berhutang dengan dia..

 

Tujuan saya pinjam duit dia untuk saya beli topup internet, buat resume, dan sebagainya untuk permulaan untuk urusan kerja di tempat baru..

 

1. kalau saya sudah dapat kerja baru apakah gaji saya itu masih halal? Kalau gaji saya itu jika halal tapi tak berkat apakah masih halal beli barang seperti beli al quran, sejadah, telekung dan sebagainya?  Masih dapat pahala ibadah ke? 

 

2. bagaimana saya hendak membersihkannya jika permulaan kerja dari hasil yg tidak betul? Sedangkan wang yg saya pernah beri pada ibu saya itu kemungkinan haram/syubhah yg asalnya milik syarikat sebelum ni atas kecuaian saya mencuri tulang, tipu sakit dapat MC kemudian telah bercampur duit dalam akaun ibu saya dan saya pinjam duit dia secara “cash” yg dia keluarkan duit dari bank dia mungkin campur halal dan haram kemudian beri pada saya, andai kata saya pinjam duit dia Rm400 dan saya telah bekerja di tempat kerja baru boleh ke gaji saya tu bayar hutang balik pada dia? Tapi saya bimbang tentang gaji saya itu sebab permulaan kerja dari hasil duit ibu saya itu..

 

3. Sebagai langkah pembersihan gaji walaupun duit dekat dalam akaun ibu saya itu bercampur halal dan haram yg hasil saya beri duit kpd dia kecuaian saya bekerja menipu sakit dan mengular dulu, tapi saya pinjam duit dia skrg contoh Rm400 untuk permulaan saya kerja, lepas gaji tempat kerja baru saya ni beri dia balik Rm400 dan Rm400 beri pada baitumal untuk gaji saya skrg ni supaya jadi berkat? Sbb atas permulaan guna duit ibu saya yg campur halal dan haram ketika saya kerja atas kecuaian saya dulu, Bolehkah ustaz? 

 

Maaf ustaz soalan panjang, Saya harap ustaz dapat membantu saya tentang masalah ini, terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد


Secara umumnya, hasil gaji yang diperolehi daripada pekerjaan yang halal adalah tetap halal selagi mana pekerjaan itu menepati syarak serta tidak melibatkan pekerjaan haram serta dilaksanakan dengan amanah. Walaupun modal permulaan yang digunakan untuk mencari kerja seperti topup internet, cetakan resume dan sebagainya datang daripada wang pinjaman yang bercampur halal dan haram, hal ini tidak memberi kesan kepada halal atau haram gaji yang diperoleh.

Maka, selagi pekerjaan itu halal dan dilakukan dengan jujur, gaji yang diperoleh adalah halal. Begitu juga jika ia digunakan untuk membeli mushaf al-Quran, sejadah, telekung dan lain-lain peralatan ibadah, ibadah tersebut tetap sah dan insyaAllah mendapat pahala.


Manakala bagi wang yang dipinjam daripada ibu walaupun asalnya bercampur halal dan haram tetap dikira sebagai hutang yang wajib dibayar semula. Dosa atas kecuaian yang anda lakukan tidak menjadikan duit tersebut syubhah kerana ibu menerima duit tersebut sebagai hadiah daripada anda sebagai anak, duit tersebut halal untuk ibu dan transaksi antara anda dan ibu adalah sebagai pinjaman atau hutang dan ia wajib dilunaskan.

Hal ini berdasarkan hadis sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Roh seorang mukmin itu tergantung (tidak bebas) disebabkan hutangnya sehingga hutang itu dilunaskan baginya. (Riwayat al-Tirmizi)

Oleh itu, saudara harus menggunakan gaji yang diterima daripada pekerjaan baharu untuk melunaskan hutang RM400 tersebut kepada ibu. Tidak ada masalah dari sudut syarak kerana yang dilihat adalah akad hutang yang tiada kena mengena dengan sumber duit yang bercampur antara yang halal dan haram.

Jika tuan merasakan pernah mengambil harta yang haram, maka pelaku tersebut hendaklah membuat pembersihan hartanya melalui hasil pendapatannya dengan menyalurkan wang tidak patuh syariah itu kepada pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 9

message user image