BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t tuan, saya telah membuat perancangan untuk melabur di dalam projek infrastruktur digital berpotensi tinggi yang mana modal pasarannya berada dalam pasaran digital kripto (atau lebih dikenali sebagai altcoin - alternative to Bitcoin). Setelah mengkaji dan meneliti projek ini secara mendalam, saya mendapati projek tersebut adalah sahih, mempunyai penjelasan jelas dan kertas putih projek (project transparency and whitepaper), tidak memiliki unsur meme coin (yang kebiasannya bertujuan untuk menjalankan aktiviti pump and dump, rugpulling atau buy-hype semata-mata), serta tidak mempunyai sebarang unsur riba atau menjalankan/ terkait aktiviti haram dari pembangun (developer team). Saya juga telah mempunyai ilmu asas dan kefahaman jelas mengenai pelaburan dalam bidang kripto untuk mengelakkan unsur gharar dan maysir. Walau bagaimanapun, saya mempunyai sedikit keraguan berkenaan keperluan menggunakan platform tukaran matawang kripto (crypto exchange) yang dibenarkan dan dipantau oleh Security Commission (SC) serta patuh syariah. Ini kerana urusan pembelian jual beli altcoin ini hanya tersedia di platform luar negara yang mana tidak menyediakan perkhidmatan serta kelulusan khusus di Malaysia. Justeru, adakah menjadi kewajipan untuk menggunakan platform yang telah diberi kelulusan di Malaysia? Adakah pelaburan ini secara automatik jatuh kepada haram sekiranya saya tidak menggunakan plaftorm yang telah disahkan patuh syariah walaupun semua elemen lain tidak mengandungi unsur-unsur haram? 

Saya dalam masa yang sama juga telah membuat carian lanjut berkenaan hukum pelaburan yang khusus dalam altcoin tetapi tidak menemui sebarang fatwa, manakala pandangan dari ilmuan luar mempunyai pandangan berbeza dalam hal ini. Saya telah mendengar dan membaca mengenai ketetapan Islam bahawa apa jua perkara yang tidak dinyatakan secara jelas adalah harus sehinggalah terdapat perkara yang haram, tetapi saya merasakan penting untuk mendapatkan kepastian dari pihak yang arif dalam hukum hakam islam, selain carian dan penelitian sendiri, serta mengelakkan unsur syubhah. Saya ucapkan terima kasih atas sebarang penjelasan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara umunya pelaburan merupakan satu bentuk usaha ekonomi yang diharuskan syarak selama mana ia mematuhi prinsip-prinsip utama muamalat Islam, antaranya:

  • Tiada unsur riba (faedah), gharar (ketidaktentuan keterlaluan), dan maysir (judi/spekulasi melampau).

  • Transaksi berlaku secara taradhi (sukarela) dan bebas penipuan.

  • Objek pelaburan dan hasilnya adalah halal dan bersih daripada aktiviti haram.

Dalilnya jelas daripada al-Quran di dalam surah al-Nisa' ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

Prinsip umum juga ditunjukkan dalam kaedah fiqh:

الأصل في المعاملات الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu muamalat adalah harus selagi tiada dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya.

Berkaitan dengan urusniaga matawang digital berikut dipanjangkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-4/2021 yang bersidang pada 8 Muharram 1443H bersamaan 17 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa:-

Harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang digital sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:

a) Urus niaga melibatkan mata wang digital hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;

b) Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:

     i. Jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang digital;

    ii. Perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang digital dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;

   iii. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan

   iv. Undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang digital.

c) Sebagaimana mata wang yang lain, mata wang digital hendaklah tidak digunakan sebagai bayaran kepada barangan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh Syariah seperti pembelian dadah, pelacuran, perjudian dan pendanaan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram.

Sebagai kesimpulan, adalah penting untuk memastikan pelaburan yang dilakukan adalah di atas platform yang disahkan oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), ia bagi memastikan pelaburan dilakukan secara sah di sisi undang-undang, terkawal dari segi keselamatan, dan diawasi pematuhan Syariahnya. Platform sah ini melindungi pelabur daripada risiko penipuan, manipulasi pasaran dan urus niaga haram, di samping menjamin akad pelaburan berjalan secara telus dan beretika menurut Islam. Jika pelaburan dibuat melalui platform luar yang tidak diluluskan, walaupun projeknya halal, ia tetap jatuh dalam kategori syubhah atau tidak sah kerana cara pelaksanaannya berisiko menyalahi prinsip muamalat dan membuka ruang kepada kerugian serta unsur haram yang tersembunyi.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.      


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 8

message user image