Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya mengenai nazar. Saya ada baca satu artikel mengenai nazar dan jenis-jenisnya. Setiap jenis nazar disertakan dengan contoh dia. Jadi ketika saya baca pada nazar mutlak, saya tidak pasti sama ada saya ada baca ayat tersebut dengan lisan atau sekadar dalam hati. Saya hanya perasan yang mulut saya terbuka tapi saya rasa saat itu tiada suara saya yang keluar. Saya rasa mulut saya terbuka kerana saya fokus, namun saya tidak dapat memastikannya jadi saya berasa was-was akan hal ini.
Contoh nazar mutlak itu seperti ini: "Aku mewajibkan ke atas diriku untuk berpuasa sunat isnin dan khamis".
1. Persoalannya ustaz, adakah nazar ini diterima jika saya tidak pasti sama ada saya menyebut nya dengan lisan? Jika ya, saya sudah tentu tidak mampu nak menunaikannya, terlebih saya perempuan yang akan mengalami haid pada hari tersebut.
2. Adakah nazar ini boleh ditebus atau dibatalkan dengan bayaran kaffarah?
3. Jika ingin membayar kaffarah nya, boleh kah saya memberi makanan kepada 10 orang fakir miskin atau berpuasa 3 hari berturut-turut bagi saya terlepas akan nazar ini?
4. Serta bolehkah bayaran kaffarah ini dibuat di laman web e-Mais?
Mohon pencerahan dari ustaz bagi masalah saya, kerana saya amat berasa takut kerana ini melibatkan nazar, sesuatu yang kita berjanji kepada Allah. Moga Allah kurniakan kefahaman kepada saya setelah ini. Terima kasih.
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
Nazar tersebut tidak terlaksana atau tidak sah kerana pada asalnya adalah tidak mengucapkan lafaz tersebut. Ini kerana, membaca lafaz nazar daripada buku atau artikel kerana belajar tidak menyebabkan nazar berlaku walaupun melafazkannya dengan kuat. Oleh itu, puan tidak dianggap telah bernazar. Soalan-soalan lain yang puan tanyakan adalah tidak berkenaan.
Sekian, terima kasih.