Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam Tuan/Puan, Alhamdulillah, saya baru menerima cahaya mata baru pada Disember lepas. Saya ingin bertanya berkenaan aqiqah, apakah hukum bagi ahli keluarga untuk makan daging aqiqah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, dibolehkan ahli keluarga untuk makan daging akikah dan disunatkan pula dimasak dahulu sebelum disedekahkan. Ia sunat disedekahkan sebahagiannya kepada fakir miskin dan sebahagiannya lagi disedekahkan kepada jiran tetangga. Daging akikah ini, jika ia akikah sunat, maka bolehlah dimakan oleh orang-orang yang melakukan akikah itu. Jika ia akikah wajib seperti ia dinazarkan, maka haram bagi orang yang melakukan akikah itu memakannya, bahkan wajib disedekahkan kesemuanya kepada fakir miskin dalam keadaan mentah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.