BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan /puan

Saya mempuyai abang seibu dan adik lelaki dan perempuan kandung (seibu sebapa). Ibu baru meninggal(2025). Datuk dan nenek sudah tiada, bapa juga telah tiada.  Saya juga mempunyai abang sebapa, ibu lain.

Berapakah kelayakan pembahagian pusaka ibu untuk kami

1. Saya (anak perempuan)

2  abang ( seibu)

3. Adik lelaki kandung

4  Adik perempuan kandung

5 Abang sebapa

Harap dapat pencerahan. Sekian terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Hak pusaka yang berhak diwarisi hanyalah kepada anak-anak kandung sahaja, iaitu abang seibu serta adik beradik seibu sebapa (adik lelaki, adik perempuan dan puan). Hal ini kerana kewujudan anak-anak kandung telah menutup hak waris lain seperti abang sebapa yang tidak berhak mendapat bahagian pusaka. Anak-anak kandung dikategorikan sebagai hijab hirman iaitu mereka menjadi penghalang kepada waris-waris yang lain. Hal ini disebutkan dalam Fiqh al-Manhaji seperti berikut:

‌‌الأشخاص الذين لا يحجبون ‌حجب حرمان:
 
لا يحجب ‌حجب حرمان ستة من الورثة، وهم: الأب، والأم، والابن، والبنت، والزوج، والزوجة.
 
ومن عدا هؤلاء فإنهم يحجبون ‌حجب حرمان

Maksudnya: Orang-orang yang tidak terhalang dengan hijab hirman:

Tidak akan terhalang dengan hijab hirman enam orang daripada kalangan waris, iaitu: bapa, ibu, anak lelaki, anak perempuan, suami, dan isteri.

Selain daripada mereka, maka mereka boleh terhalang dengan hijab hirman.

Berdasarkan kenyataan di atas, terdapat enam orang waris yang tidak akan terhalang daripada menerima pusaka melalui hijab hirman, iaitu bapa, ibu, anak lelaki, anak perempuan, suami dan isteri. Adapun selain daripada mereka, maka waris-waris tersebut boleh terhalang sepenuhnya daripada mendapat pusaka kerana hijab hirman.

Justeru itu, pihak lelaki mendapat 2 bahagian manakala pihak perempuan mendapat 1 bahagian daripada 6 bahagian. Perinciannya adalah seperti berikut

1) Adik lelaki (seibu sebapa) - 2/6 bahagian

2) Adik perempuan (seibu sebapa) - 1/6 bahagian

3) Puan (anak kandung) - 1/6 bahagian

4) Abang seibu - 2/6 bahagian

Untuk lebih lanjut, puan boleh berhubung dengan Unit Faraid di Majlis Agama Islam Selangor jika terdapat sebarang kemusykilan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 37

message user image