Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ada 1 pertanyaan. Suami saya telah membuka kedai vape sebelum kami bernikah. Suami saya juga merupakan bekas perokok Dan pengguna vape. Setelah kami bernikah Dan kemudiaannya mempunyai anak, suami saya tidak lagi merokok atau menggunakan vape tetapi Masih menjual vape. Sekarang ini, suami saya sudah mempunyai kesedaran untuk terus berhenti menjual vape. Beliau ingin menjual kedai itu kepada pengusaha vape yang lain. Soalan saya, adakah duit yang akan diperoleh hasil Dari menjual kedai itu haram? Atau adakah duit itu boleh digunakan? Sekiranya duit itu haram, apakah yang perlu dilakukan dengan duit itu? Terima kasih.
Jawapan
Hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man Ibnu Bashir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimanapun di antara keduanya terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah), yang mana ramai orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya….. (Riwayat al-Bukhari)
Merujuk kepada persoalan puan, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2016 yang bersidang pada 19 Januari 2016 bersamaan 9 Rabiulakhir 1437H berkaitan Pengharaman Rokok Elektronik Dan Vape, memutuskan bahawa:
“Penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap rokok elektronik dan vape atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan rokok elektronik dan vape. Oleh itu, berdasarkan fatwa yang telah diputuskan di atas, jual beli vape atau sesuatu yang berkaitan dengannya adalah termasuk jual beli yang diharamkan”
Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA., bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : Sesungguhnya jika Allah telah mengharamkan sesuatu, maka haramlah upah (hasil penjualannya). (Riwayat Ahmad)
Seterusnya, penjualan dan segala wasilah serta usaha yang mendorong ke arah penggunaan vape adalah haram. Hal ini berdasarkan kaedah yang masyhur iaitu:
Maksud : Apa yang membawa kepada haram maka ianya haram
Pendapatan yang diperoleh daripada sumber yang tidak patuh Syariah wajib disucikan dengan menyerahkannya kepada Baitulmal Majlis Agama Islam, kerana hasil tersebut tidak boleh digunakan bagi tujuan menyara kehidupan.
Namun, sekiranya puan dan keluarga berada dalam keadaan sangat berhajat untuk kelangsungan hidup, maka kedai atau barangan tersebut boleh dijual kepada orang bukan Islam dengan tujuan mendapatkan kembali modal. Hasil daripada jualan itu boleh digunakan untuk menyara kehidupan sekadar keperluan asas sahaja tanpa berlebih-lebihan.
Sekian, terima kasih