BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualikum,

Saya ada kenalan yang bekerja di sebuah syarikat hartanah. Baru-baru ini, syarikat tersebut menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat lain, tetapi pekerja tidak mengetahui secara terperinci skop kerjasama itu. Namun, pekerja tahu bahawa syarikat tersebut berkolaborasi dengan syarikat yang terlibat dalam perniagaan arak. Apakah hukum bagi pekerja yang bekerja di syarikat hartanah yang berkolaborasi dengan syarikat arak, menurut pandangan Islam ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Berlandaskan kepada persoalan yang diajukan, hukumnya bergantung kepada sejauh mana syarikat hartanah itu terlibat dengan syarikat yang terlibat arak tersebut. :

  1. Kerjasama itu tidak melibatkan sokongan langsung kepada aktiviti jual beli, pengedaran, atau promosi arak.
  2. Pekerja tidak terlibat langsung dalam urusan berkaitan arak.
  3. Pendapatan pekerja datang daripada sumber yang tidak berkaitan dengan arak.

Secara umumnya, jika syarikat hartanah yang disebutkan terlibat secara langsung dalam membina, menyewa, atau menjual hartanah untuk tujuan yang berkaitan dengan arak seperti kilang, bar, atau premis jualan arak, maka kerjasama tersebut dianggap haram.

Ini kerana pendapatan yang diterima daripada aktiviti tersebut mempunyai unsur yang haram. Oleh itu, amat penting untuk menjauhi sebarang bentuk penglibatan dalam projek sebegini demi memastikan sumber pendapatan para pekerja muslim dalam syarikat adalah halal dan berkat.

Secara asasnya, syarikat yang menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat yang dikenali dengan perniagaan berkaitan arak adalah tidak harus kerana ia termasuk dalam bentuk bantuan terhadap perkara haram. Namun, jika seseorang hanyalah pekerja bawahan tanpa kemampuan membuat keputusan dalam pemilihan kontrak, tanggungjawab dosa lebih berat ditanggung oleh pihak pengurusan syarikat. Pekerja muslim dalam keadaan ini perlu menjaga hati agar tidak redha, meminimumkan penglibatan, dan berusaha mencari alternatif lain yang lebih bersih daripada unsur syubhah demi keberkatan rezeki.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 3

message user image