Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Maaf saya ingin bertanya. saya berpindah ke sabak bernam, ketika saya solat maghrib di masjid saya dapati bilal terus iqamah selepas azan dilaungkan. Persoalan saya adakah ada tempoh waktu yang khusus di antara azan dan iqamah. Ataupun bilal boleh terus iqamah selepas azan tanpa beri masa sedikit selepas azan? Terima kasih
Jawapan
Di sisi mazhab Shafi‘i, sunat dipisahkan antara azan dan iqamah dengan tempoh tertentu supaya orang ramai dapat berhimpun dan menunaikan solat sunat qabliah. Namun, harus juga jika bilal terus iqamah selepas azan, cuma yang lebih aula ialah beri sedikit masa untuk solat sunat.
Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW:
Maksudnya: Di antara setiap dua azan (azan dan iqamah) ada solat, bagi siapa yang mahu. (Riwayat al-Bukhari)
Termasuk juga solat sunat dua rakaat sebelum maghrib yang digalakkan, tetapi ia sunat ghairu muakkad, maka sesiapa yang tidak mengerjakannya tidaklah salah.
Kesimpulannya, tiada tempoh tertentu yang ditetapkan syarak bagi jarak menunggu antara azan dan iqamah, khususnya bagi solat Maghrib dan Isyak.
Sekian, terima kasih.