Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak bertanya.
Seorang ibu, kematian suaminya (ayah).
1-Adakah seorang anak lelaki sulong dalam keluarga tersebut, menjadi ketua keluarga walaupun mempunyai 2 orang lagi adik beradik lelaki lain yang telahpun berkerjaya dan berumah tangga? Dan segala tanggungjawab terhadap ibu/adik belajar diberatkan ke atas yang sulong tersebut ?
2- Adakah berdosa jika anak sulong tersebut yang merupakan seorang suami meninggalkan isteri dan anak2 tanpa rela isteri menjaga anak mereka bersendirian demi menjaga/taat/mengikut ibunya ke tempat lain?
3- Adakah ibu yang kehilangan suami tersebut berdosa jika dia cuba mengaturkan anak-anak lelakinya supaya tinggal bersama dia, berdekatan tanpa rela anak/keluarga kecil mereka dan seterusnya memberi kesan buruk kepada pekerjaan, kehidupan dan kewangan kepada keluarga kecil mereka?
4- Apakah hukum jika isteri menyatakan bahwa tanggungjawab suami ke anak isteri lebih utama dr ibu, ibu kenalah cuba untuk bergantung kat Allah juga instead anak2nya dan suami menjawab ' kau tak rasa, nanti kau rasa ibu/ayah kau mati baru tahu'?
Mohon bantu menjawab soalan2 ini, terima kasih
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya, tidak menjadi syarat bahawa anak sulung mesti menjadi ketua keluarga secara automatik selepas kematian ayah kerana semua anak sama ada lelaki mahupun perempuan tetap berkewajipan menjaga ibu mengikut kemampuan masing-masing. Bagi seorang anak lelaki yang sudah berkahwin, tanggungjawab utama ialah menunaikan nafkah serta menjaga isteri dan anak-anaknya disamping kewajipannya terhadap ibu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan mereka. Sekiranya seseorang anak mempunyai lebihan harta setelah menampung keperluan diri dan tanggungan, maka wajib baginya memberi nafkah kepada ibu yang tidak berkemampuan menyara diri. Nafkah ini sebaiknya dipikul bersama secara adil antara adik-beradik mengikut kemampuan masing-masing agar tidak membebankan seorang sahaja.
Dalam masa yang sama, seorang ibu tidak berhak menuntut wang anaknya kecuali jika benar-benar memerlukan, dan anak tidak berdosa menolak permintaan tersebut selagi ibunya masih mampu menanggung dirinya sendiri. Ibu juga sewajarnya memahami keadaan anak serta menghormati keputusan mereka. Perlu diingat, berbakti kepada ibu bapa adalah kewajipan yang besar, namun ia tidak boleh menghapuskan hak isteri dan anak-anak yang merupakan tanggungjawab utama seorang suami. Justeru, perbincangan dan persepakatan antara adik-beradik amatlah penting bagi mencari jalan terbaik dalam menjaga ibu bapa, sebagai tanda syukur dan membalas jasa mereka selaras dengan perintah Allah agar sentiasa berbuat baik kepada kedua-duanya.
Sekian, terima kasih.