Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam. Saya ingin bertanyakan mengenai hukum solat sunat hadiah untuk orang yang telah meninggal dunia. Adakah ianya mempunyai asas yang sahih dalam Islam?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan berkenaan solat sunat hadiah, terdapat kaedah fiqh berkaitan ibadah menyatakan bahawa: الأصل فى العبادة التحريم والبطل إلا ما جاء به الدليل على اوامره Maksudnya : “Hukum asal dalam beribadah adalah haram dan batal kecuali yang ada dalil yang memerintahkannya” Hukum haram dapat berubah menjadi wajib atau sunat apabila ada perintah dari Allah dan RasulNya. Apabila tidak ada perintah dari Allah dan RasulNya atau apabila tidak ada dalil yang menyuruh (perintah) melakukannya, ia kembali kepada hukum asal iaitu haram. Oleh itu, berkaitan solat sunat hadiah untuk orang yang telah meninggal dunia, tiada sebarang nas atau dalil sahih yang menyuruh untuk dilakukan melainkan dari melaksanakan solat jenazah ke atas orang yang telah meninggal dunia. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.