BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Saya ingin bertanyakan soalan bagi pihak rakan saya memandangkan saya tidak berapa arif akan hal ini. Dia mengaku telah melakukan zina pada bulan Ramadhan selepas terbit matahari. Dia telah bertaubat dan kembali ke jalan Allah dan dalam usaha memperbaiki lagi dirinya. Jadi sekarang, dia perlukan pencerahan tentang kaffarah yang perlu diselesaikan atas perbuatannya. Yang saya tahu, dia perlu berpuasa sepanjang 60 hari berturut turut. Dia merupakan seorang perempuan dan ada penyakit gastrik, jadi jika tidak berkemampuan untuk berpuasa selama 60 hari berturut turut, apa yang perlu dilakukan olehnya? Adakah dibenarkan jika dia memberi makan kepada fakir miskin atau dia perlu jugak berusaha untuk berpuasa sepanjang 60 hari berturut? Tapi bagaimana kiraan puasa 60 hari berturut sekiranya dia didatangi haid. Mohon pencerahan agar saya dapat membantu rakan saya menyelesaikan "hutang" nya


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Seseorang yang telah melakukan zina secara sengaja pada siang hari dalam bulan Ramadhan menyebabkan puasanya terbatal serta dikenakan kaffarah. Perihal ini sebagaimana dijelaskan dalam al-Muqaddimah al-Hadramiyyah: 

وَإِن زَنَيَا وَلَا على من ظن أَنه ليل فَتبين نَهَار وَهِي عتق رَقَبَة مُؤمنَة سليمَة من الْعُيُوب الَّتِي تخل بِالْعَمَلِ فَإِن لم يجد صَامَ شَهْرَيْن مُتَتَابعين فَإِن لم يقدر أطْعم سِتِّينَ مِسْكينا كل وَاحِد مدا

Maksudnya: Meskipun kedua-duanya berzina, tidak dikenakan kafarah kepada sesiapa yang menyangka sudah malam tetapi masih lagi siang. Kafarah itu ialah memerdekakan hamba yang beriman yang bebas daripada kecacatan yang mana boleh mencacatkan amalan. Jika dia tiada hamba, maka wajib baginya berpuasa dua bulan berturut-turut dan sekiranya tidak mampu hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin dengan satu cupak (makanan asasi) bagi setiap seorang.

Namun begitu, kaffarah ini menjadi tanggungjawab kepada pihak lelaki sahaja. Pihak perempuan tidak disyaratkan kaffarah ke atas dirinya sebaliknya dia hanya perlu mengqadha semula puasa yang ditinggalkan akibat daripada perbuatan zina serta wajib bertaubat kepada Allah SWT secara bersungguh-sungguh dan menyesali perbuatannya. Sesungguhnya Allah SWT Maha mengampuni kesalahan hamba-hambanya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 51

message user image