BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

Saya ada beberapa persoalan yang sangat mengharapkan jawapan dari pihak tuan. 

1. Arwah bapa ada meninggalkan sejumlah wang tunai (RM30K) di dalam bank BSN.

2. Sebelum meninggal arwah bapa ada berpesan kepada saya dan kakak no 2 supaya wang tunai tersebut dibahagikan kepada semua 7 adik beradik. Dalam perjumpaan waris, semua waris bersetuju dan sepakat untuk pembahagian sama rata 3 lelaki 4 perempuan.

3. Kesemua wang tunai tersebut (duit pencen, duit sewa rumah, duit kedai) di amanah oleh arwah bapa kepada kakak sulung untuk disimpan di akaun BSN (akaun atas nama kakak sulung tersebut).

4. Selepas seminggu kematian arwah bapa, kakak sulung mengemukakan permohonan bicara pusaka.

5. Didalam permohonan bicara pusaka, kakak sulung tidak memasukkan nilai atau jumlah wang tunai (akaun BSN) didalam bahagian/perenggan Harta Alih Si mati pada borang bicara pusaka tersebut dengan kata lain si kakak sulung tidak mengisytiharkan jumlah wang tunai di dalam borang bicara pusaka tersebut.

6. Sehingga ke hari ini, (5 bulan setelah kematian bapa) kami semua masih menunggu tarikh panggilan untuk bicara pusaka kecil.

Soalan saya:-

- apakah hukumnya kakak sulung tidak menyegerakan atau bedak wang tunai arwah bapa dengan kadar segera? Sedangkan wang tunai tersebut tidak diisytiharkan dalam borang bicara pusaka? Malah ada adik beradik yang perlukan duit kecemasan tetapi tiada siapa pun yang berani untuk meminta bahagian/hak nya ke atas wang tunai tersebut pada si kakak sulung.

- Kakak sulung juga telah menggantikan kipas siling di rumah arwah bapa menggunakan duit tersebut tanpa persetujuan sebahagian dari waris.

- menggunakan duit tersebut (sekali lagi tanpa persetujuan dari sebahagian waris) untuk membaiki kereta arwah bapa untuk dijual (kereta bapa juga tidak diisytiharkan dalam perenggan Harta Alih Si mati).

- menggunakan duit tersebut untuk membayar anak benih pokok sawit tanah kebun arwah bapa juga tanpa persetujuan dari waris-waris?

Saya mohon hukum dan penjelasan atas situasi ini. 

Terima kasih 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan dan situasi yang dikemukakan, kakak sulung puan tidak mengisytiharkan wang tunai (simpanan BSN) arwah bapa pada borang bicara pusaka kerana kesemua wang tunai tersebut kerana disimpan di dalam akaun BSN milik kakak sulung puan. Menurut prosedur Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, harta yang hendak dimohon untuk proses pembahagian harta pusaka di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Pembahagian Pusaka Kecil) tersebut perlulah didaftarkan atas nama si mati. Kakak sulung merupakan pemegang amanah dan pentadbir bagi harta pusaka arwah bapa puan melainkan ianya telah dihibahkan (hadiahkan) kepada kakak sulong ketika arwah masih hidup , jika berlaku hibah maka kakak perlu membuktikan hibah tersebut berlaku.

Adapun, menggantikan kipas siling di rumah milik arwah bapa, membaiki kereta milik arwah bapa serta membayar anak benih pokok sawit tanah kebun milik arwah bapa bertujuan melicinkan pengurusan pengagihan harta pusaka kepada waris-waris adalah diwajibkan serta perlulah mendapatkan kesepakatan dan memaklumkan waris-waris lain terlebih dahulu. 

Hukum menyegerakan pengurusan dan pembahagian harta pusaka adalah wajib. Dalam pengurusan pembahagian harta pusaka, segala pembayaran dan kos pengurusan adalah menggunakan harta pusaka arwah bapa. Oleh yang demikian, dinasihatkan agar pihak ahli waris merancang kewangan yang ditinggalkan dan bersepakat bagi pembayaran kos-kos yang terlibat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 3

message user image