Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Adakah tangan yang digunakan dengan air mutlak untuk mencuci najis di kemaluan perlu dibersihkan secara berasingan selepas selepas mencuci najis di kemaluan kita. Apa hukumnya jika kita tidak mencucinya secara berasingan? Adakah masih suci.
2. Ragu-ragu tentang air kencing masih terkeluar selepas isntinjak .Apakah hukumnya jika kita tidak mencuci selepas ragu-ragu najis masih ada.
3. Jika kita ragu-ragu badan bernajis tetapi tidak pasti di mana kawasan yang betul-betul ada najis tersebut, apakah hukum kawasan yang terkena najis tersebut tetapi kita tidak tahu kawasan tersbut telah kena. Adakah semua tempat perlu dicuci dan apakah solat kita sah jika kita tersentuh najis di kawasan tersebut .
4.Adakah solat kita sah jika kita ragu-ragu badan kita mempunyai najis tetapi tidak menjumpai tanda-tanda najis di kawasan badan kita.
5. Adakah najis hanya boleh dipastikan jika hanya ada warna,bau atau rasa dan sebaliknya kita hanya andaikan najis tidak tersbar di kawasan tersbut .Apakah hukumnya
6. Adakah sah solat jika kita solat dengan najis hukmiyyah dan adakah sah solat jika kaki kita terpijak kawasan najis hukmi sebelum solat dalam keadaan basah.
7. Jika tidak pasti najis hukmi di kawasan tersebut, maka kawasan itu adakah suci atau tidak?
8. Apakah hukum kawasan yang kita andaikan ada najis tanpa menjumpai bukti
Jawapan
Penyelesaian bagi perasaan ragu-ragu atau was-was cukuplah untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:
Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.”
(Rujuk al-Fath al-Mubin, hlm. 316).
Hal ini kerana hukum asal bagi sesuatu adalah suci sebagaimana kaedah menyebutkan:
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Rujuk Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).
Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqh yang lain juga ada menyatakan bahawa:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).
Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu dibersihkan atau disucikan. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak boleh menjadikan sesuatu itu menjadi bernajis.
Maka jawapan berdasarkan soalan:
1. Tidak perlu disucikan secara berasingan. Hukumnya tangan telah suci sekiranya tidak terdapat sebarang ain najis.
2. Ragu-ragu tidak boleh menjadi hujah. Sesuatu itu dihukumkan dengan keyakinan. Maka hukum asalnya adalah suci.
3. Ragu-ragu tidak boleh menjadi hujah. Sesuatu itu dihukumkan dengan keyakinan. Maka tempat solat adalah suci dan sah solat.
4. Ragu-ragu tidak boleh menjadi hujjah. Sesuatu itu dihukumkan dengan keyakinan. Maka, solat menjadi sah.
5. Ya betul. Sesuatu dihukumkan bernajis apabila jelas terdapat ain najis seperti bau, warna dan rasa.
6. Tidak sah solat pada kawasan yang diketahui secara yakin terdapat najis hukmi dalam kedaan basah atau kering.
7. Ragu-ragu tidak boleh menjadi hujjah. Sesuatu itu dihukumkan dengan keyakinan. Maka, kawasan tersebut adalah suci.
8. Sesuatu dianggap bernajis apabila jelas terdapat ain najis seperti bau, warna dan rasa. Maka, kawasan yang kita andaikan ada najis tanpa menjumpai bukti tidak dihukumkan najis.
Sekian, terima kasih.