Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah jatuh talak setelah suami telah melafazkan 'jika tahu saya (isteri) bankrup, tidak akan berkahwin dgn saya'. Kebankrupan saya itu berlaku selepas saya berkahwin dgn suami setelah 10 tahun, bukan sebelum berkahwin.
Jawapan
Semoga puan dan pasangan sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT. Lafaz talak terbahagi kepada dua; sarih (jelas) dan kinayah (kiasan). Berdasarkan situasi yang dinyatakan, lafaz yang diungkapkan tidak dikira sebagai lafaz sarih mahupun kinayah. Selain itu, lafaz tersebut juga tidak dikira sebagai takliq talak kerana yang diucapkan adalah berkaitan perkara yang sudah berlalu. Maka, lafaz tersebut dianggap sebagai satu luahan yang tidak terkait dengan talak. Justeru, talak tidak berlaku dalam situasi ini.
Sekian, terima kasih.