BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

Situasi : Saya bersama adik perempuan akan bermusafir ke Korea Selatan selama 7H6M.  Penerbangan pergi ke Korea adalah pada pukul 11.30PM hari Jumaat minggu ini dan penerbangan pulang pada pukul 7.30AM hari Sabtu minggu hadapan. Saya akan bermalam selama 6 malam di tempat penginapan yang sama.

Soalan:

1. Memandangkan saya sampai pada pukul 7.00AM hari Sabtu, bolehkah saya solat jamak qasar sepanjang hari berkenaan selagi belum check-in di tempat penginapan yang dirancang?

2. Sekiranya saya keluar dari daerah tempat bermalam dan melawat daerah lain namun perjalanan tidak melebihi 2 marhalah/70km, bagaimana hukum solat jamak dalam keadaan begini?

3. Sekiranya saya solat tamam kerana bermalam di 1 tempat melebihi 3 malam, bolehkah saya solat jamak tamam di tempat penginapan terutamanya solat maghrib dan Isyak kerana kesukaran mencari tempat solat?

4. Saya akan check-out dari tempat penginapan pada hari Jumaat minggu hadapan jam 11.00AM dan bermalam di kawasan airport sementara menunggu penerbangan pulang pada hari Sabtu esoknya. Dalam keadaan ini, bolehkah saya solat jamak qasar sepanjang hari Jumaat tersebut?

5. Bolehkah saya mengambil pandangan lain berkaitan kelonggaran solat jamak dan qasar sepanjang tempoh musafir adalah dibenarkan tanpa mengira tempoh bermalam memandangkan kesukaran untuk mencari tempat solat dan wudhu bagi perempuan?

Terima kasih atas pencerahan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

  1. Puan masih dianggap musafir selagi belum berniat untuk bermukim selama tiga hari penuh, tidak termasuk hari tiba dan pulang. Sepanjang perjalanan menuju ke tempat penginapan, puan dibolehkan melaksanakan solat secara jamak dan qasar sehingga puan tiba di kawasan tempat bermukim.

  2. Sekiranya telah bermukim di sesuatu lokasi, maka puan tidak boleh menunaikan solat secara qasar kerana perjalanan tidak melebihi dua marhalah yang dianggap sebagai syarat musafir bagi memboleh kan qasar.

  3. Oleh sebab puan berniat untuk menetap selama enam malam di tempat yang sama, maka tempoh tersebut telah melebihi had musafir dan tidak lagi dibolehkan solat jamak dan qasar. Kesukaran mencari tempat solat secara umumnya tidak membenarkan menjamakkan atau mengqasarkan solat, kerana ia bukan termasuk dalam kategori darurat atau musafir yang membolehkan jamak. Puan kena bersedia dengan peralatan wudhuk dan kelengkapan untuk solat kerana solat boleh dilakukan di mana-mana lokasi bukan hanya di surau atau musolla. Namun, jika terdapat kesukaran yang bersangatan dan bimbangkan keselamatan setelah berusaha sebaiknya mencari tempat untuk mendirikan solat, maka diharuskan untuk solat jamak secara tamam.

  4. Setelah keluar dari tempat bermukim untuk pulang ke Malaysia, status puan kembali menjadi musafir. Oleh itu, sepanjang hari Jumaat selepas daftar keluar, dibolehkan kembali melakukan solat jamak dan qasar sehingga tiba semula di tanah air sebelum masuk ke kariah tempat tinggal.

  5. Sekiranya menghadapi kesukaran mencari tempat solat dan wuduk, puan dibolehkan solat jamak tamam tanpa perlu mengikut pandangan dalam mazhab lain.

الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 46

message user image