Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum... Saya nak bertanya,
1) Saya alami ketika solat merasakan badan ber ayun2 kedepan dan kebelakang, kadang2 saya cuba untuk tegakkan dan ketatkan otot untuk tidak bergerak tapi tetap bergerak.
2) kadang2 pernah berlaku ketika badan berayun tu saya tahan tapi apa yg terjadi badan tu mcm berhenti secara perlahan tapi tetap bergerak
Soalan nya sah atau tidak solat saya
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, menurut mazhab Shafi'i perbuatan yang membatalkan solat adalah melibatkan pergerakan yang banyak. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu dikira banyak atau sedikit ialah apabila ia melibatkan tiga kali pergerakan secara berturut-turut maka ia dikira sebagai pergerakan yang banyak. Adapun jika kurang daripada tiga kali pergerakan atau lebih tetapi secara berasingan, maka ia dikira sebagai pergerakan yang sedikit.
Justeru, mengikut situasi yang tuan alami hukum solat tuan adalah sah kerana perbuatan itu bukan lah satu perbuatan yang dilakukan dengan sengaja tetapi mungkin disebabkan keuzuran atau seumpamanya. Sekiranya, tuan mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu untuk berdiri, maka tuan diberikan kelonggaran dalam syarak iaitu diharuskan untuk solat dalam keadaan duduk.
Sekian, terima kasih.