BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz.
Kalau boleh, saya nak minta pandangan dan nasihat ustaz.
Macam mana nak tangani masalah ketakharmonian dalam rumah?
Ibu dan ayah tinggal serumah dengan anak perempuan yang sudah berkeluarga.
Ibu dan ayah tidak mahu duduk di kampung atas alasan tertentu.
Ibu ayah masih sihat dan boleh menguruskan diri walaupun ayah sudah berkerusi roda.
Adik beradik lain ada, baik anak lelaki atau anak perempuan, tapi ibu ayah memilih untuk tinggal dgn anak ini sahaja.
Semua urusan kesihatan, keperluan harian diuruskan anak ini.
Selepas beberapa tahun, keadaan dah tak harmoni
Terlalu banyak hati yang terasa dan adakalanya pergaduhan antara anak perempuan dan ibu, atau anak perempuan dan suami.
Anak lebih banyak berdiam dan hanya berbual perkara penting untuk elak banyak dosa.
Ibu banyak terasa hati apabila anak tak dapat memenuhi permintaan ibu. Apa juga permasalahan sekiranya membabitkan anak-anak lain, akhirnya seperti anak perempuan ini sahaja yang perlu bertanggungjawab dan dijadikan punca masalah kerana beranggapan anak yang serumah perlu menguruskan segalanya. Anak ini percaya ibu itu sayangkan anaknya tapi keadaan sehari-hari membuatkan adakalanya anak rasa perlukan khidmat pakar untuk menenangkan diri. Anak kecilnya terkadang terkena tempias bersikap garang kerana tekanan semasa.
Suami dah sukar untuk diajak bertoleransi menjadikan anak tersepit.
Suami amat terasa hati apabila setiap kali suami nak balik ke rumah mak ayahnya, tidak pernah sekali pun tiada masalah yang timbul daripada pihak ibu mentua walaupun hakikatnya setahun hanya beberapa kali berkesempatan menjenguk orang tua.
Mohon nasihat ustaz apa yang perlu dilakukan untuk elak lebih banyak dosa dan mendapat semula keharmonian seluruh keluarga.


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk persolan yang diajukan, berbakti kepada ibu bapa adalah tanggungjawab besar, bahkan selepas mereka lanjut usia atau uzur. Namun begitu, ia bukan satu-satunya tanggungjawab si anak perempuan sahaja, apatah lagi bila dia sudah berumah tangga. Setelah berkahwin, wanita itu di bawah tanggungjawab suaminya dan perlu mendapat keizinan suami untuk menjaga ibu dan ayahnya. Akan tetapi tanggungjawab menjaga ibu dan bapa adalah lebih utama kepada anak lelaki. Adapun, tidak salah bagi anak perempuan untuk berbakti kepada ibu bapanya, tetapi keutamaannya adalah kepada suaminya sendiri.  Dia tetap wajib berbuat baik kepada ibu bapanya, tetapi tugas utamanya ialah mengurus rumahtangganya adalah lebih utama. 

Di samping itu, bagi permasalahan ini disarankan agar mengadakan pertemuan antara semua adik-beradik dan berbincang secara  baik tentang perkara ini tanpa menyebabkan ibu dan bapa terasa hati.  Selain itu, boleh menyatakan bahawa tanggungjawab menjaga ibu dan ayah adalah tanggungjawab bersama. Disamping itu juga, di dalam perbincangan tersebut, boleh mencadangkan  giliran diantara adik beradik untuk bergilir menjaga ibu dan ayah. Namun begitu, jika ibu bapa tidak mahu untuk penggiliran, dicadangkan kepada adik-beradik untuk memberi sumbangan bersama sama ada dari segi masa, kewangan dan tenaga supaya dapat bersama-sama menjaga ibu dan bapa walaupun berada di rumah anak perempuan tersebut. Seharusnya anak-anak yang lain juga bersikap positif dan faham dan cuba mengambil hati mak ayah dengan membawa mereka keluar berjalan-jalan dan makan angin. Perkara ini, sedikit sebanyak dapat memberi peluang anak perempuan tersebut mempunya masa hanya untuk suami dan anak-anaknya sahaja. Mereka juga memerlukan masa bersama untuk memperbaiki hubungan yang sudah pudar. Akan tetapi, sekiranya ada ruang dan peluang anak perempuan tersebut boleh berbincang sendiri dengan ibu dan ayah mengenai hal ini. Berbincanglah secara damai bukan dengan beremosi dan beradab agar tidak mengguris hati ibu dan ayah dengan kata-kata yang kurang baik. Berkatalah dengan suara dan nada yang berkasih sayang dan merendah diri. 

Di samping itu, hubungan antara suami dan anak perempuan tersebut perlu diperbaiki. Ianya memerlukan satu sesi khusus untuk suami dan isteri berbincang tentang penyelesaian masalah yang berlaku. Sekiranya perlu, boleh dapatkan kaunseling rumahtangga di pejabat agama daerah untuk bantu suami memahami keadaan isteri seterusnya boleh membantu menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku. Ini kerana seorang isteri sebenarnya memerlukan sokongan dari suami untuk meneruskan kehidupan yang lebih harmoni. Namun begitu, jika anak perempuan tersebut menghadapi tekanan yang sudah melebihi batas boleh dapatkan bantuan profesional seperti kaunselor yang berdaftar untuk membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi. Disarankan juga agar suami dan isteri tersebut tidak mengetepikan hak mertua yang mana mereka juga berhak untuk diziarahi dan berjumpa dengan cucu-cucu mereka. Buatlah penggiliran yang lebih adil supaya kedua-dua belah keluarga mendapat manfaat yang sama. Selain itu, emosi anak juga perlu diambil kira supaya anak tersebut tidak mendapat tekanan di dalam permasalahan ini. Perbincangan sanagt diperlukan agar masing-masing mendapat kata putus yang lebih harmoni.

Oleh yang demikian, dinasihatkan agar isteri tersebut tidak menyalahkan diri sendiri apabila dia tidak mampu memenuhi permintaan ibunya. Allah tidak membebankan seseorang lebih dari kemampuannya. Sentiasalah berdoa memohon agar Allah melembutkan hati ibu, ayah, suami, dan seluruh ahli keluarga. Selain itu, dinasihatkan agar isteri tersebut dapat menjaga kesihatan diri, mental, emosi dan fizikal. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Talaq ayat 7:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍۢ مِّن سَعَتِهِۦ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُۥ فَلْيُنفِقْ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَا ۚ سَيَجْعَلُ ٱللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍۢ يُسْرًۭ

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 65

message user image