Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Mufti Selangor.
Saya ingin bertanya dan inginkan jawapan tentang kemusykilan yang saya hadapi yang semakin mengganggu rutin harian saya dan perasaan was-was yang mungkin keterlaluan. Saya berharap pihak mufti dapat membantu saya.
Semalam saya ada membuat kerja menukar atap bilik. Atap asalnya kadbod tetapi telah reput kerana musang selalu lalu diatasnya dan juga faktor cuaca. Jadi saya ingin tukar kepada zink.
Untuk pengetahuan, bawah kadbod itu ada kesan meresap kencing musang dan atas kadbod pula ada najis tikus, cicak, musang. Tetapi sudah kering. Semasa saya pasang zink, ada beberapa kadbod reput dan menyebabkan najis-najis kering, debu kotoran turun ke lantai dalam bilik. Saya buat kerja dengan memakai sarung tangan kain dan menggunakan tangga.
Saya ada beberapa kemusykilan dan saya inginkan jawapan.
Soalan saya,
1. Semasa saya pasang zink baru diatas atap, saya memakai sarung tangan yang tadinya telah menyentuh kadbod berdebu kotor tersebut menyebabkan zink ada kesan debu-debu halus. Memandangkan atas kadbod siling sebelum ini ada najis-najis kering apakah zink saya pasang itu juga ada tersebar najis dari sentuhan sarung tangan saya? Dan tangga yang saya pakai untuk memanjat apakah statusnya najis juga? Kerana saya dah pegang, sentuh tangga semasa memanjat.
2. Kayu beroti bawah kadbod yang terkena najis kering apakah statusnya? Tiang-tiang dalam bilik jika saya sentuh semasa pemasangan zink apakah dianggap najis juga?
3. Jika setelah pemasangan zink saya terlupa apa yang telah saya sentuh didalam bilik saya seperti tiang yang mana satu telah disentuh, dinding yang mana telah saya sentuh, dan apa-apa sahaja didalam bilik yang telah saya sentuh semasa saya pakai sarung tangan yang ada debu kotoran tadi tu. Bagaimana status kesucian bilik saya jika saya sentuh, tersentuh dengan tangan basah?
5. Setelah kerja-kerja pemasangan zink selesai, saya lap tiang-tiang dalam bilik saya, pintu dan dinding yang saya ingat saya sentuh sahaja yang saya lap menggunakan kain basah yang telah disabun dan dibilas. Sekali lap sahaja.
Kemudian, saya sapu ain najis yang jatuh diatas lantai bilik saya. Dan penyapu tersebut saya buang. Kemudian pertama saya ambil kain basah yang ada sabun bercampur air, lalu saya lap kawasan lantai bilik saya sambil mencari dan mengutip kalau-kalau ada lebihan sisa najis kering yang jatuh tadi sehingga tidak nampak lagi ada kesan ain najis yang tertinggal. Kemudian setelah mengesahkan tiada najis lain yang terjatuh, tercicir dan saya telah kutip semuanya.. Kemudian saya lap kali kedua menggunakan mop bersama air, sabun, clorox dalam kawasan bilik dan kawasan ruangan lantai lain dalam rumah yang sama yang telah saya pijak semasa proses pemasangan zink. Selepas itu, yang ketiga saya bilas lantai menggunakan mop yang telah dicuci bersih. Saya bilas sekali lalu dengan air paip.
Untuk zink pula, disebabkan atap tinggi saya ambil kayu dan hujungnya saya letakkan span bersalut kain basah yang telah dicelup sabun dan dibilas kemudian saya ikat dengan tali dan saya lalukan span tersebut dibawah zink untuk membersihkan debu-debu kotor tadi.
6. Apakah sudah memadai semua usaha yang saya buat untuk membersihkan dari kawasan dalam bilik, ruangan lain, dan kawasan-kawasan yang terjejas? Apakah status kesucian bilik saya, dan kawasan lain yang telah saya pijak selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan?
7. Sebelum ini anak saya baling tab kerana tantrum dia melambung tab keatas terkena bawah kadbod yg ada kesan kencing musang yang kering yang dah meresap. Terkena bucu tab. Saya sedar kadbod retak setelah beberapa bulan anak saya baling kerana saya nampak ada kesan retak. Memang dia pernah baling disitu. Saya baru perasan keretakan itu setelah beberapa bulan. Adakah najis telah tersebar pada tab tersebut sebelum ini? Jika sebelum itu saya pernah letakkan tab dibawah bantal, dicelah-celah bakul atau apa sahaja yang telah tersentuh oleh tab sebelum saya sedar keretakan dan tab yang dibaling telah terkena kesan meresap kencing kering itu, apakah dimaafkan? Atau najis juga?
Saya berasa was-was dan ia mengganggu fikiran saya. Saya nak beribadah tetapi saya rasa sekeliling saya kotor. Saya tidak rasa tenang kerana hanya lupa sekejap dan perasaan was-was akan datang kembali. Saya agak tertekan dengan masalah ini kerana mengganggu fikiran saya sehari-hari. Saya harap pihak mufti dapat berikan saya jawapan yang jelas. Atau saya perlu berjumpa sesiapa untuk membantu saya? Saya rasa sedih keadaan ini berlaku pada saya dan apakah ini juga satu penyakit jiwa?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan:
1) Sarung tangan kering menyentuh kadbod berdebu/najis kering tidak menyebabkan najis berpindah kerana kedua-duanya kering. Bila anda pegang zink atau tangga dengan tangan kering, maka zink dan tangga tidak jadi najis.
2) Jika najis yang kena pada kayu kering, dan anda sentuh dalam keadaan kering, maka najis tidak berpindah. Tiang-tiang dalam bilik yang anda sentuh semasa kerja juga tidak najis, jika sentuhan berlaku dalam keadaan kering.
3) Jika anda tidak ingat pasti apa yang anda sentuh, maka ikut kaedah fiqh:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).
Bila tiada bukti jelas tempat itu najis, maka ia dihukum suci.
6) Bilik dan semua kawasan adalah suci sepenuhnya.
7) Bucu tab yang terkena kadbod ada kesan kencing musang yang telah kering adalah tidak bernajis dan tab tersebt tidak menajiskan yang lain.
Oleh itu, selagi tiada najis dan hanya sekadar andaian, maka tempat tersebut adalah kekal bersih dan suci. Jangan biarkan was-was mengganggu ibadah dan hidup anda. Anda sudah buat yang terbaik. Sekarang masa untuk bertenang, beribadah dengan yakin dan serahkan kepada Allah.
Sekian, terima kasih.