Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..soalan saya berkaitan istihadah & solat
darah istihadah "Spotted" saya datang dalam 5-10 sebelum period. situasi bermula bulan March 2025 dan berterusan sehingga sekarang July 2025. Tempoh "spotted" samada 5 hari hingga 10 hari setiap bulan sebelum period.
1) saya terbaca satu wudhuk hanya sah untuk 1 solat fardu sahaja. adakah perlu ambil wudhuk baru untuk solat subuh sekiranya bangun awal pagi untuk qiamullail?
2) adakah perlu tukar pantyliner baru sekiranya tiada tanda "spotted" di pantyliner ? Contohnya sudah tukar yang baru untuk solat maghrib dan tiada tanda ada darah pada pantyliner apabila hendak solat isyak.
3) adakah terdapat cara untuk mengubati istihadah? sebab jumpa doctor hanya bagi ubat dan hanya berkesan sekejap sahaja. Bulan seterusnya masih ada darah istihadah.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Bagi wanita yang menghadapi istihadhah, 1 wuduk yang dilakukan hanya boleh dilakukan untuk 1 solat fardu dan seberapa banyak solat sunat yang dikehendaki. Di antara syarat wuduk yang hendak dilakukan ialah wuduk perlu dilakukan selepas masuk waktu solat. Ini bermakna selepas berqiamulail dan masuk waktu subuh, puan perlu mengambil semula wuduk untuk solat fardu Subuh.
2. Seandainya dapat dipastikan tiada darah atau atau tompokan darah yang keluar, maka tidak perlu untuk mengambil wuduk semula.
3. Istihadhah mungkin berlaku disebabkan beberapa faktor seperti cara pemakanan, perubahan hormon dan sebagainya. Adalah sebaiknya merujuk pakar perubatan untuk dapatkan nasihat kesihatan serta menjalani pemeriksaan untuk mengenalpasti punca darah yang keluar secara berterusan. Namun, puan turut disarankan untuk mencuba kaedah perubatan Islam alternatif sebagai usaha mencari kesembuhan.
Sekian. Terima kasih.