Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah,
Saya ingin bertanya secara rahsia kerana saya malu dan sangat menyesal atas kesilapan saya.
Saya pernah bernazar bahawa jika saya menonton video lucah, saya akan berpuasa 3 hari berturut-turut. Tapi saya telah beberapa kali langgar nazar itu, dan sekarang saya sudah mengumpul banyak hari nazar (mungkin lebih dari 100 hari).
Saya benar-benar ingin berubah dan menyesal sepenuh hati. Tapi saya rasa sangat berat dan tak mampu untuk puasa semua sekaligus.
Soalan saya:
1. Adakah saya wajib puasa semua hari tersebut?
2. Kalau terlalu berat, adakah ada jalan seperti membayar kaffarah?
3. Adakah nazar saya sah dan boleh dibatalkan atau diubah?
Saya betul-betul ingin bertaubat dan tunaikan tanggungjawab saya kepada Allah, cuma saya mohon sangat bimbingan dan panduan daripada pihak ustaz/ustazah.
Terima kasih banyak.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Nazar dari segi bahasa bermakna janji melakukan sesuatu perkara sama ada baik mahupun buruk. Dari segi syarak pula, ia bermakna janji untuk melakukan sesuatu yang baik sahaja (dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT). Secara umumnya para fuqaha menyatakan, nazar itu bermakna, seseorang yang mewajibkan dirinya melakukan sesuatu ibadah yang pada asalnya tidak pun diwajibkan ke atasnya. Namun begitu, nazar tidak berlaku dan tidak sah dalam perkara yang berkaitan dengan maksiat, hal ini kerana perbuatan maksiat merupakan larangan yang jelas dan sememangnya perlu ditinggalkan dalam Islam. Maka, perbuatan bernazar atas kesalahan maksiat yang dilakukan adalah tidak sah.
Justeru, tuan tidak diwajibkan mengerjakan puasa-puasa tersebut kerana ia tidak dihukumkan sebagai nazar sebagaimana yang telah dijelaskan. Apabila ia tidak dihukumkan nazar, maka segala yang berkaitan dengannya seperti puasa dan kaffarah tidak menjadi tanggungan terhadap diri tuan. Maka jalan keluarnya adalah bertaubat secara bersungguh kepada Allah SWT atas kekhilafan yang telah dilakukan. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran ayat ke 135:
Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Sekian, terima kasih.