Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.....ini permasalahan ibu saya. Ibu saya telah mengerjakan ibadah umrah pada tahun 2022. Ketika sampai di Mekah, sebelum tawaf, ibu saya rasa terkucil namun disebabkn takut tertinggal jemaah, ibu sya tidak memperbaharui wuduknya. Ibu sya terus mengerjakan tawaf, saei dan bertahalul. Selepas pulang ke hotel, ternyata ibu sya terkucil dan ibu saya yakin bahawa dirinya terkucil sebelum tawaf lagi. Ibu saya tidak memberitahu sesiapa mengenai hal ini sehingga dia pulang ke Malaysia. Persoalan saya
1) Adakah ibu saya masih di kira dalam ihram sehingga sekarang?
2) Apakah yang perlu kami lakukan untuk mengatasi permasalahan ini?
Terima kasih
Jawapan
Semoga puan sekeluarga sentiasa berada di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT.
Berhubung persoalan yang dikemukakan, perlu dijelaskan bahawa menurut mazhab Syafi‘i, salah satu daripada syarat sah tawaf ialah suci daripada hadas kecil, hadas besar dan juga najis. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang menunaikan tawaf dalam keadaan tidak berwuduk, maka tawaf tersebut dianggap tidak sah, dan individu berkenaan masih lagi berada dalam ihram sehinggalah dia melaksanakan semula tawaf dengan memenuhi segala rukun dan syaratnya.
Walau bagaimanapun, dalam isu yang puan bangkitkan iaitu peristiwa terbatal wuduk ketika tawaf telahpun berlalu dan tawaf telah selesai dilaksanakan, terdapat pandangan mazhab lain yang boleh dirujuk. Menurut mazhab Hanafi, wuduk bukanlah syarat sah tawaf, tetapi ia merupakan syarat kesempurnaan. Oleh itu, tawaf yang dilakukan tanpa wuduk tetap dianggap sah, namun dikenakan dam sebagai gantian.
Dalam konteks ini, ibu puan yang menyempurnakan tawaf dalam keadaan wuduk terbatal, dianggap sah ibadah umrahnya dan beliau tidak lagi berada dalam ihram setelah selesai melaksanakan segala rukun umrah. Akan tetapi, beliau diwajibkan menunaikan dam berdasarkan pandangan mazhab Hanafi.
Perlu dinyatakan bahawa mengambil pandangan mazhab lain dalam isu-isu tertentu adalah diharuskan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Hal ini turut diperakukan dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-41 (1446H/2024M) yang menyebut bahawa talfiq (menggabungkan pandangan mazhab) dibenarkan dengan syarat:
Tidak bertujuan semata-mata untuk memilih pandangan yang paling mudah (tatabbu‘ al-rukhas).
Tidak membawa kepada amalan yang bercanggah dengan ijma‘ ulama.
Kesimpulannya, tawaf yang telah dilakukan oleh ibu puan tetap sah dengan berpandukan pandangan mazhab Hanafi. Beliau tidak lagi berada dalam ihram setelah menyempurnakan umrah, tetapi tetap perlu menunaikan dam sebagaimana yang ditetapkan.
Sekian, terima kasih.