Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, ini kali ke2 saya cuba tanya soalan sebab sebelum ni tak dapat verified email saya. Mohon ustaz boleh jawab Soalan saya ni.
Saya ada masalah was was dalam ibadah solat & wuduk terutamanya, kebersihan sejak umur 14 tahun lagi. Ini menyukarkan saya untuk cari kerja sebab saya akan ambil masa lama untuk 1 solat sahaja. Mohon tolong saya.
Soalan saya,
1. Saya ada masalah nak hadir kan niat dalam hati semasa takbiratul ihram. Makin saya cari jawapan, makin licik syaitan cuba manipulasi saya. Sekarang ni saya tak dapat berniat dengan baik semasa takbiratul ihram. Contoh. Saya nak solat fardu Asar. Saya cuba niat sebelum angkat takbir "Aku solat fardu Asar" tetapi semasa saya angkat takbir dan nak niat dalam hati, belum sempat saya nak sebut fardu Asar, akan keluar niat Isyak, dan waktu lain dulu. Banyak kali terjadi. Belum lg sebelum sempat nk niat "aku solat..." mesti akan terlintas dulu qada, sunat walaupun mmg sy nk solat yg waktu skrg tu. Mohon jelaskan dengan bahasa mudah seperti "sebelum angkat takbir" sebab saya tak faham bila menggunakan ayat seperti "sebelum memulakan solat" atau "sebelum mendirikan solat".
Mcm mana ya? Saya ada juga cuba niat yg sekejap sebelum angkat takbir ikut mazhab lain (ustaz lain cakap boleh sebab kira bagi keringanan) tetap juga tak boleh, masa angkat takbir mesti terlintas solat lain juga. Saya rasa nak give up, tapi saya tak nak tinggal kan solat.
2. Semasa wuduk, macam mana nak niat wuduk masa air kena kat muka ya? Kalau ikutkan sangat sekejap bila sapu air kat muka. Mohon pencerahan.
3. Saya ada pertanyaan lain, boleh kah jika seorang ayah yg ikut cara solat dan puasa cara syiah tetapi baca Al quran dan hafaz dari Al quran rasm uthmani? Dan boleh kah dia jadi wali (untuk Nikah) kepada anak yg ikut ajaran ASWJ kerana belajar di sekolah Malaysia. Kakak ² saya ramai dah berkahwin. Tapi saya musykil.
Terima kasih.
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Perlu difahami bahawa niat ini adalah lintasan hati dengan tujuan solat tertentu yang dihadirkan pada rukun pertama sesuatu ibadah. Dalam erti kata lain, niat merupakan kesedaran untuk melakukan sesuatu ibadah. Contohnya seperti solat, mengikut mazhab al-Syafii, puan hanya perlu mendatangkan kesedaran untuk menunaikan solat fardu zohor ketika mengangkat takbiratul ihram tanpa perlu membaca atau bercakap dalam hati bagi setiap perkataan.
2. Perlu difahami yang dimaksudkan berniat wuduk ketika membasuh buka bukanlah bermaksud perlu mendatangkan niat sepanjang basuhan pertama di muka. Yang dimaksudkan dengan waktu niat wuduk adalah ketika air kali pertama menyentuh muka.
3. Tiada masalah bagi sesiapa untuk membaca al-Quran mengikut Rasm Uthmani bahkan digalakkan. Bapa yang beraliran selain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak cukup syarat untuk menjadi wali menikahkan anak perempuannya. Sila rujuk pejabat agama Islam terdekat.
Sekian, terima kasih.