BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin tahu jika seorang yang mengikuti mazhab syafie dibenarkan mengambil pendapat daripada mazhab lain. Contohnya, mazhab syafie menghukumkan kentut faraj membatalkan wuduk tetapi mazhab maliki menghukumkan tidak membatalkan wuduk, adakah saya boleh mengambil pendapat dari mazhab maliki tersebut? Saya ada mendengar ceramah individu yang berbeza yang menyatakan boleh dan ada yang tidak membenarkannya. Ini membuatkan saya keliru apabila ingin melakukan ibadah yang banyak sekaligus.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, Mazhab al-Syafi'i berpendapat bahawa setiap sesuatu yang keluar daripada dua jalan (qubul atau dubur) membatalkan wuduk, termasuklah angin yang keluar dari kemaluan wanita (kentut faraj). Sementara itu, Mazhab Maliki pula berpendapat bahawa ia tidak membatalkan wuduk, kecuali jika angin tersebut keluar bersama najis atau mempunyai bau yang nyata.

Justeru, jelas terdapat khilaf antara kedua-dua mazhab dalam isu ini. Namun demikian, dalam konteks amalan di Malaysia yang berpegang dengan Mazhab al-Syafi'i sebagai mazhab rasmi, tidak ada keperluan untuk beralih kepada pandangan Mazhab Maliki melainkan atas sebab tertentu yang diiktiraf oleh syarak.

Sekiranya seseorang ingin beramal dengan pandangan mazhab lain, maka dia hendaklah memahami disiplin dan kaedah mazhab tersebut terlebih dahulu, bukan sekadar memilih pandangan yang dirasakan mudah. Hal ini penting bagi mengelakkan berlakunya percampuran antara mazhab dalam satu ibadah (talfiq) yang boleh menjejaskan kesahihan ibadah itu sendiri.

Sebagai contoh, jika seseorang berwuduk dengan mengikuti mazhab Maliki, maka dia tidak boleh mencampurkan amalan wuduk itu dengan mazhab Syafi‘i dalam ibadah yang sama. Sebaliknya, dia wajib berpegang penuh kepada disiplin mazhab Maliki dalam perkara wuduk dan solat tersebut.

Bagi seseorang yang tidak mengetahui hukum-hakam dalam sesuatu mazhab, maka dia tidak boleh beramal dengan mazhab tersebut sehinggalah dia benar-benar memahami peraturan dan disiplin hukum-hakamnya. Jika tidak, dia akan beramal tanpa ilmu dan tanpa keyakinan terhadap kesahihan ibadah yang dilakukan.

Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa beramal dengan pandangan mazhab lain tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa ilmu dan bimbingan. Ia menuntut kefahaman terhadap disiplin mazhab tersebut, di samping kewajipan orang awam untuk merujuk kepada ulama yang berautoriti. Sikap berhati-hati ini penting supaya ibadah yang dilakukan benar-benar sah, selari dengan syariat, dan terhindar daripada amalan tanpa asas yang kukuh.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 41

message user image