Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Saya ingin memohon pandangan dan penjelasan daripada pihak Pejabat Mufti berkaitan dengan pelaksanaan ibadah umrah yang saya kerjakan baru-baru ini. Sepanjang menunaikan umrah, saya telah melaksanakan kesemua rukun umrah — termasuk tawaf, sa’ie, dan bertahallul. Namun, saya mengalami sedikit kekeliruan semasa melakukan tawaf. Saya melakukan tawaf secara berkumpulan dan hanya mengikut kumpulan tanpa mengira sendiri jumlah pusingan. Selepas tawaf, saya terus melakukan sa’ie antara Safa dan Marwah sebanyak 7 pusingan,semasa melakukan saie saya terdetik rasa ragu-ragu tentang pusingan pergiraan tawaf saya tapi saya telah meneruskan bersaie dan seterusnya bertahallul. Selepas selesai semuanya,barulah saya merujuk kepada mutawif tentang keraguan dan was-was mengenai bilangan pusingan tawaf yang telah saya lakukan. beliau memaklumkan bahawa umrah saya sah serta telah selesai. Namun, kerana masih berasa ragu, saya kembali ke Kaabah dan melakukan satu pusingan tawaf tambahan. Sekarang saya telah pulang ke Malaysia, tetapi masih merasa was-was dan tidak tenteram tentang kesempurnaan ibadah umrah tersebut. Soalan saya: 1. Adakah umrah saya dikira sah walaupun saya was-was terhadap jumlah pusingan tawaf? 2. Adakah saya perlu membayar dam sekiranya terdapat kekurangan dalam rukun umrah tersebut? 3. Apakah langkah terbaik untuk saya selesaikan keraguan ini mengikut syarak? Saya juga ingin maklumkan bahawa selepas umrah tersebut, saya telah menunaikan satu lagi umrah sunat dalam lawatan yang sama. Segala pandangan dan nasihat daripada pihak Pejabat Mufti amat saya hargai. Sekian, terima kasih. Wassalam
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan berdasarkan situasi, umrah pertama yang telah dilaksanakan adalah sah di sisi syarak. Adapun was-was yang berlaku di minda tuan adalah mainan syaitan semata, sedangkan syaitan itu secara nyata adalah musuh manusia. Justeru, menentang syaitan ialah suatu kewajipan. Antara serangan syaitan itu sendiri ialah melalui was-was, seperti yang difirmankan Allah SWT:
Maksudnya: "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia” (Surah al-Nas, ayat 5)
Nasihat kami, tinggalkan dan abaikan perasaan was-was tersebut, dan bina keyakinan dengan belajar ilmu agama, juga berdoalah kepada Allah SWT, sepertimana yang telah diajar oleh Allah SWT:
Maksudnya: "Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku"."Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku". (Surah al-Mukminun, ayat 97-98)
Mudahan amalan kita diterima oleh Allah SWT dan diganjari dengan kebaikan yang banyak.