BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan / puan..

Saya ada 2 soalan :-

1) Pada malam hari suami dan saya bergaduh, suami ada sebut ayat "Jangan sampai aku ceraikan kau.."

Pada malam itu juga kami telah berbaik semula dan suami jelaskan dia tiada niat untuk ceraikan saya ketika marah tu. 

Adakah ayat suami "Jangan sampai aku ceraikan kau " pada ketika tu perceraian telah berlaku atau telah jatuh talak. 

2) Pada hari yang lain, kami pernah bergaduh dan ketika itu suami ada lafaz " Lepas ini kalau kau keluar bekerja, aku ceraikan kau.."

Hari esoknya dan sehingga kini, saya tidak lagi keluar untuk bekerja part time sebab sudah dengar arahan suami. Suami ada menjelaskan juga niat hati dia berkata begitu masa tu dengan syarat saya bole keluar bekerja kalau dapat keizinan dari dia sahaja. Tetapi sehingga sekarang saya pilih untuk tidak keluar bekerja dan kekal jadi suriumah. Adakah lafaz yg dibuat suami saya itu ketika tu terpakai untuk sepanjang masa atau bole terbatal pada hari atau waktu tertentu akan datang.

Mohon pencerahan dan jawapan untuk dua soalan saya ni tuan/puan.

Terima kasih banyak.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1. Lafaz suami puan "Jangan sampai aku ceraikan kau”, adalah merupakan lafaz yang berbentuk amaran atau ancaman atau hasrat untuk menceraikan isteri dan ia juga tidak termasuk dalam mana-mana lafaz talak yang sorih (jelas) atau pun kinayah yang sempurna. Maka ia tidak menyebabkan jatuhnya talak.

2. Manakala lafaz “Lepas ini kalau kau keluar bekerja, aku ceraikan kau” adalah merupakan lafaz taklik iaitu mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara. Apabila perkara tersebut berlaku, maka jatuhlah talak. Walaubagaimanapun suami puan ada menyatakan bahawa yang dia maksudkan dan niatkan adalah "boleh keluar bekerja dengan izinnya" . Kenyataan ini menunjukkan bahawa syarat taklik tidak mutlak, tetapi ada kaitan dengan keizinan suami. Bermaksud kalau suami izinkan isteri keluar bekerja maka talak tidak jatuh dan begitulah sebaliknya.

Lafaz taklik tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan setelah diucapkan sebagaimana pandangan majoriti fuqaha', ini kerana secara hukum, taklik atau cerai bersyarat tersebut dianggap seperti suami telah melaksanakan lafaz talak. Fuqaha' menganggap kalaupun syarat belum terwujud atau berlaku atau dilanggar, lafaz itu tetap dihukumkan sebagai talak yang sah, sama seperti talak biasa.

Walaubagaimanapun, untuk makluman pihak puan, pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku yakni jatuh atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka adalah disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 55

message user image